Utusan: Anjakan Karier Seni Jac

By 31/01/2012October 1st, 2015Bahasa Melayu

MENDENGARKAN lagu Sebelah Jiwaku yang diperdengarkan kepada pihak media baru-baru ini, tidak dinafikan adalah isyarat bahawa penyanyi bersuara lantang ini mahu mencari hal tuju baru.

Ciptaan sepenuhnya oleh komposer prolifik, Edry Abdul Halim, lagu rancak itu disampaikan penuh bertenaga oleh Jaclyn Victor atau Jac, seumpama lagu tema terbaru dalam hidupnya.

Seiring dengan kemasukannya ke KRU Music sebagai ahli keluarga terbaru empayar itu, Jac tidak menafikan keputusan itu adalah sebagai salah satu daripada penjenamaan semula dirinya.

“Selepas hampir dua tahun, saya melayari bahtera seni dengan harapan mahu mencari arah tuju sendiri. Melihatkan rakan-rakan lain yang selesa bergerak sendiri, teringin juga mahu berbuat demikian.

“Tetapi saya sedar, setiap penyanyi itu dikurniakan dengan kelebihan dan keistimewaan sendiri. Semuanya antara rajin atau tidak sahaja. Seperti contoh diri saya sendiri, saya tidak dilahirkan untuk menghasilkan lagu atau lirik sendiri.

“Saya pernah cuba tetapi nampaknya kemalasan melangkaui segala-galanya (ketawa). Akhirnya, selepas melalui beberapa sesi perbincangan dengan KRU Music, maka, hati saya terbuka untuk menerima lamaran mereka.

“Apatah lagi, saya sendiri merupakan salah seorang penggemar muzik mereka dan sentiasa mengikuti perkembangan mereka dari dulu hingga kini. Jadi, apabila berada di bawah naungan mereka, saya terharu dan bangga,” kata Jac luhur sewaktu ditemui usai majlis menandatangani kontrak bersama KRU Music di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur, minggu lalu.

Dengan termeterai perjanjian itu, Jac secara rasmi kini menjadi ahli keluarga KRU Music selama setahun dan diberikan opsyen untuk menyambungnya secara tahunan.

Turut hadir pada majlis itu adalah Edry yang bakal menerbitkan album terbaru Jac dan Timbalan Presiden KRU Music, KC Ismail.

Standard

Sebaik sahaja menjuarai pertandingan Malaysian Idol musim pertama pada tahun 2004, Jac menjadi artis naungan syarikat rakaman antarabangsa, Sony BMG Entertainment (kini Sony Music).

Selama lima tahun, Jac telah menghasilkan tiga buah album solo iaitu Gemilang (2005), Inilah…Jac (2006) dan Jaclyn Victor III (2009) sebelum mengambil keputusan untuk tidak menyambung kontraknya pada September 2010.

Katanya lagi, bukan tidak ada syarikat yang melamar ketika dia sudah bebas daripada Sony Music, tetapi ketika itu dia sibuk dengan projek album 3 Suara dan memberikan sepenuh tumpuan untuknya.

Dengan penuh optimis juga, Jac tidak merasakan standardnya sebagai seorang penyanyi jatuh hanya kerana beralih daripada syarikat antarabangsa kepada syarikat tempatan.

“Hubungan saya dengan Sony Music memang cukup baik dan sepanjang bersama mereka, saya tidak mempunyai sebarang masalah. Saya cukup sedar mereka telah banyak membantu dalam kerjaya saya.

“Saya tidak mahu ada yang menganggap tawaran daripada KRU Music ini datang ketika saya masih bersama Sony. Semua itu tidak benar kerana saya dilamar oleh KRU hanya sekitar tahun lalu dan ketika itu saya sudah bebas daripada sebarang kontrak dengan Sony.

“Harapan saya memang cukup tinggi untuk melihat kerjaya seni berkembang dengan menyertai syarikat baru ini. Saya melihat ‘perkahwinan’ kedua saya ini lebih kepada situasi menang-menang,” jelas Jac yang pernah diiktiraf dengan trofi Vokal Wanita Terbaik Anugerah Industri Muzik Ke-14 (2007) menerusi album Inilah…Jac itu lagi.

Tidak bosan

Melihatkan kepada rentak Sebelah Jiwaku itu, barangkali ramai yang akan mengandaikan bahawa Jac mahu lari daripada ‘makanan rujinya’ yakni lagu-lagu berentak balada.

Apakah Jac sudah bosan untuk menyanyikan lagu-lagu seperti itu yang telah memperkenalkan bakatnya kepada pencinta muzik tempatan?

Sambil tersenyum, penyanyi berusia 34 tahun itu menjelaskan, jauh sekali untuknya melarikan diri daripada terus menyanyikan lagu-lagu balada.

Apatah lagi untuk berasa bosan, kata Jac, dia mahu menampilkan kelainan dan menjenamakan dirinya semula dengan buah tangan yang lebih segar.

“Saya tidak pernah berasa bosan menyanyikan lagu-lagu balada dan bersyukur kerana peminat menghargai bakat saya dengan lagu-lagu seperti itu.

“Dengan lagu Gemilang juga, ia telah memperkenalkan nama saya dan bermula detik itu, orang mula kenal siapa Jaclyn Victor.

“Tidak keterlaluan saya katakan, impak besar Gemilang bagai melenyapkan potensi lagu-lagu balada indah yang lain di dalam album kedua dan ketiga saya.

“Tetapi, dengan bakat yang saya ada, saya tidak mahu menjadi stereotaip dan berusaha untuk membawa diri ke depan dengan menyampaikan lagu-lagu yang berentak berbeza,” kata pemilik nama penuh Jaclyn Joshua Thanaraj Victor.

Malah kata Jac, sebelum dia merakamkan lagu Sebelah Jiwaku, dia sendiri berbincang dan meminta pandangan Edry untuk mencari strategi terbaik bagi meluaskan lagi skop seninya.

Dalam masa yang sama juga kata Jac, sebagai penyanyi, dia juga perlu diberi peluang untuk bersuara seandainya ada beberapa perkara yang dirasakan tidak sesuai untuk dirinya.

Atas alasan itu jugalah, dia dengan terbuka hati menerima lamaran KRU kerana syarikat itu tidak membataskan keinginannya sebagai seorang penyanyi.

Lamaran

Ditanya apakah lamaran KRU dibuat sewaktu perbincangan untuk memilihnya menggantikan Anuar Zain menyampaikan lagu Sedetik Lebih pada separuh akhir Muzik-Muzik hujung tahun lalu, Jac memberitahu ia berlaku sebelum itu lagi.

“Semuanya bermula dengan tawaran untuk menjadi artis mereka. Kemudiannya, pada sesi perbincangan yang lain, barulah mereka memberitahu bahawa mereka mahukan saya menggantikan Anuar.

“Untuk album pertama saya dengan KRU ini, mereka juga memberi peluang dan kebebasan kepada saya untuk mencari material daripada komposer lain. Tidak semestinya daripada Edry sahaja.

“Tetapi saya berasakan, untuk yang sulung ini, saya fikir lebih baik saya merakamkan lagu-lagu Edry dahulu. Selepas lagu Sebelah Jiwaku, saya akan merakamkan lagu tema filem muzikal, 29 Februari yang merupakan sebuah lagu berentak balada.

“Saya sudah mendengarkan demo lagu itu dan saya cukup sukakan melodinya yang begitu indah. Malah, saya yakin peminat juga akan menyukai lagu itu,” kata Jac yang turut merakamkan sebuah lagu Inggeris untuk filem animasi tiga dimensi, Ribbit terbitan KRU Studios.

Sempat berkongsi pengalamannya bersama komposer popular itu, Jac yang juga popular dengan lagu Bertamu Di Kalbu dan Ceritera Cinta bersama Rio Febrian ini mengakui dia cukup kagum dengan komitmen dan disiplin kerja Edry sewaktu di dalam studio.