UA: Bob Jadi Penyanyi Nasyid?

By 16/02/2012October 1st, 2015Bahasa Melayu

Kehadiran program realiti Akademi Fantasia dalam industri hiburan tanahair telah melahirkan ramai pelapis bidang nyanyian negara. Antara yang mempunyai kekuatan vokal tersendiri adalah bintang AF 2, Bob Yusof. GUA dikhabarkan Bob sudah beralih arah menceburi genre nasyid dalam kerjaya nyanyian beliau. Kesempatan bertemu anak jati Sarawak ini GUA ambil bagi bertanyakan kebenaran berita berkenaan.

“Saya memang sudah menjadi penyanyi nasyid tapi dah dapat tawaran untuk menjadi vokalis sebuah kumpulan rock. Mula-mula agak kekok tapi saya berjaya menghayati muzik rock kumpulan tersebut”, ujar pemilik nama penuh Yusrizan Usop ini.

Tentu pembaca GUA teruja menantikan alunan nasyid dari Bob tapi jangan salah faham. Sebenarnya, itu adalah watak Amin yang dilakonkan Bob dalam filem komedi terbaru arahan Nizam Zakaria iaitu Cinta Kura-Kura. Dalam filem tersebut, Bob tampil sebagai vokalis kumpulan rock bersama-sama Aeril Zafrel, Daus AF8, Harun Salim Bachik dan Tauke Raja Lawak. Bob berkongsi pengalamannya bergelar abang kepada Tiz Zaqyah dalam filem terbitan KRU Studios ini.

“Sejujurnya saya amat seronok menjadi sebahagian dari filem ini. Karakter Amin yang penyayang dan kelakar sedikit sebanyak membantu saya menghayati watak dengan lebih baik. Penggunaan teknik CGI menambah impak yang lebih menarik dalam filem ini. Kaki-kaki wayang di luar sana jangan lupa tengok filem ini di Pawagam 1 Mac nanti”, jelas Bob lagi.

Bob yang cukup peramah ketika ditemubual kini sedang sibuk dalam rangka menyiapkan album pertamanya. Bob yang mengakui gemar bereksperimentasi dengan kepelbagaian muzik masih lagi bertungkus lumus menyiapkan buah tangan sulung beliau itu. Selepas tampil dengan single hits seperti Cinta Terhalang, GUA juga difahamkan beberapa lagi single akan dikeluarkan Bob dalam masa terdekat.

“Tak lama lagi Bob akan lancarkan dua single. Satu ciptaan Audi Mok dan lirik Omar K bertajuk ‘Jangan-Jangan’. Single ini memang lain dari yang lain. Ada bunyi-bunyi ‘Swing Broadway’ sikit. Yang lagi satu ciptaan Sharon Paul diberi judul ‘Yang Bertakhta’”, ujar Bob yang juga merancang untuk menghasilkan album tradisional satu hari nanti.

Bob yang turut dilantik menjadi duta Red Ribbon untuk kempen pencegahan AIDS turut menyimpan hasrat mengacarakan program bercorak ‘Travelog’ tersendiri. Dalam diam rupanya Bob pernah mencarakan sebuah program ‘Travelog’ online yang memaparkan pembangunan luar bandar untuk Projek Transformasi Kerajaan (GTP) .GUA yakin dengan bakat besar kurniaan Tuhan terhadap anak muda berusia 32 tahun ini, beliau pasti akan menempa kejayaan tersendiri. GUA doakan yang terbaik buat Bob Yusof!