Sinar Harian: Aweera & Iqa, tak kenal erti putus asa

By 21/04/2012October 1st, 2015Bahasa Melayu

Nasib artis program realiti kadangkala tidak selalunya baik. Kata orang, artis realiti ibarat mee segera. Ada juga yang merasa artis realiti seperti sebuah iklan biskut, ‘kejap ada, kejap tiada’.

Namun hakikatnya, bergelar artis realiti bukan semudah disangka. Bagi dua figura yang lahir dari program realiti ini, persaingan sengit dalam industri memerlukan mereka bekerja kuat bagi memastikan nama mereka tidak hilang dek masa yang berlalu.

Kali ini, Zass menggandingkan pemenang tempat ketiga One in a Million (OIAM) dan Mentor musim kelima, Aweera dan Iqa bagi menelusuri perkembangan mereka selepas menjejakkan kaki ke lapangan sebenar industri seni.

Jika dibandingkan Iqa dengan rakan seangkatannya seperti Salma dan Shiha, bagi penulis, Iqa boleh dianggap bertuah kerana berpeluang menjadi protege kepada komposer terkenal, Edry KRU.

Sekali gus, ia menjadi tiket percuma buat Iqa bernaung di bawah salah satu syarikat gergasi di Malaysia, KRU Records.

Bagaimanapun, akui Iqa ia bukan alasan buatnya untuk bersenang-lenang tanpa berusaha memastikan namanya terus kekal di dalam industri.

“Iqa akui persaingan sangat sengit di dalam industri. Saban masa, ada sahaja artis baru yang muncul dalam industri. Bukan mahu mencemburui sesiapa, tetapi bagi Iqa sendiri, ia bukan alasan untuk Iqa bersenang-lenang.

“Sebagai artis, amat penting buat Iqa merencana karier seni agar nama Iqa tidak hilang hari demi hari,” kata gadis periang ini.

Berbeza pula dengan Aweera, biarpun pernah tampil dengan buah tangan terbaru tahun lalu, namun ia bukan jaminan buat seseorang artis realiti itu mendapat populariti serupa seperti yang di kecapi ketika program berlangsung.

“Selepas berakhir OIAM, saya pernah tampil dengan single berjudul Bintang, mungkin rezeki tidak menyebelahi saya kerana single tersebut tidak mendapat sambutan.

“Namun, saya bersyukur apabila abang Edry menghubungi saya dan mempelawa saya menyertai Mojo. Saya rasa bagai orang mengantuk disorongkan bantal, memang saya tidak berfikir panjang untuk menerima tawaran itu.

“Jadi sekarang, saya sedang sibuk mempromosikan single Mojo, Andai Aku Bercinta lagi. Selain saya, Mojo turut dianggotai abang Edry sebagai pemain synthesizer. Kami memang rasa cukup bertuah dengan penyertaan abang Edry dalam kumpulan ini.

“Manakala posisi pemain dram Mojo pula diduduki oleh Johar Lucas yang merupakan salah seorang anggota kumpulan Tilu dan gitaris, Denny,” katanya.

Kesusahan keluarga jadi penguat semangat

Aweera atau nama sebenarnya Nasharul Aweera Norhissham berkata, muzik video single Mojo sudah dirakamkan dan akan dilancarkan Mei ini bersama album EP pertama Mojo yang mengandungi empat buah lagu.

Menariknya, setiap lagu di dalam album EP itu dicipta oleh setiap ahli Mojo.

“Saya memang tak sabar menanti hari pelancaran album EP kerana saya kira tahun 2012 adalah tahun saya membuat ‘comeback’.

“Selain itu, saya berharap orang tidak lagi melabelkan saya dengan imej rock kapak kerana selama ini saya dikenali dengan imej rock kerana imej itu yang dicipta untuk saya sejak saya berada dalam program realiti OIAM.

“Memang rock sebati dalam jiwa saya, tetapi tak akanlah saya nak kekal dengan imej rock kapak sampai ke sudah. Saya harap selepas ini saya akan dapat mengubah persepsi orang,” jelasnya.

Menurut Aweera, dia juga tidak sabar untuk memberi kesenangan kepada keluarganya, memandangkan mereka hidup susah di kampung halaman di Kangar, Perlis.

“Saya tidak tahu macam mana nak menggambarkan kesusahan hidup kami sekeluarga di kampung. Malah untuk saya berulang-alik ke Kuala Lumpur memenuhi undangan persembahan juga agak berat kerana kos yang tinggi.

“Mungkin selepas ini, saya akan berpindah ke Kuala Lumpur bagi memudahkan saya bergerak bersama Mojo. Saya juga berharap hasil pendapatan saya dapat meringankan beban keluarga di kampung,” katanya yang menjadikan keluarga sebagai penguat semangatnya.

Aweera merajuk?

Menyentuh mengenai ‘kehilangannya’ selepas berakhir OIAM, jejaka berusia 21 tahun ini berkata, kehilangannya itu bukan disebabkan dia merajuk dengan kekalahannya atau sebab lain-lain.

“Tiada sebab untuk saya merajuk dan saya tidak kisah hanya mendapat tempat ketiga. Sepanjang saya tidak aktif dalam bidang seni, saya mengambil peluang untuk mencari material buat saya sendiri.

“Selain itu, saya juga bekerja di Universiti Malaysia Perlis (UniMap) dalam bidang muzik dan dari situ juga saya menimba pengalaman dalam hal berkaitan muzik. Jadi, memang tiada istilah merajuk kerana saya benar-benar cintakan bidang muzik ini,” katanya.

Bercerita tentang perkembangan lainnya, Aweera berkata, dia bakal muncul dalam filem pertama lakonannya berjudul Leftwings yang diarahkan oleh Faisal Chal Ahmad.

Filem bercorak muzikal rock tempatan itu menampilkan Aweera sebagai teraju utama bernama Ray dan mengisahkan sebuah band indie dengan menjadikan band rock, WINGS sebagai idola mereka dan bakal ditayangkan pada 30 Ogos ini.

Iqa bakal tubuh band

Sementara itu, menyentuh mengenai perkembangan terbarunya, Iqa berkata, dia kini sedang menanti untuk mempromosikan single keduanya.

Katanya, single terbarunya itu terpaksa ‘ditahan’ dari dikeluarkan kerana Iqa kini sedang mencari ahli untuk band barunya.

“Iqa menyuarakan hasrat untuk menubuhkan sebuah band yang anggotanya semua perempuan dan abang Edry bersetuju dengan cadangan Iqa.

“Jadi kini, kami sedang mencari ahli dan sesiapa yang berminat bolehlah menghantar maklumat diri dan demo ke KRU Record.

“Iqa harap perancangan ini menjadi kenyataan kerana lagunya sudah ada, hanya menanti ahli untuk band sahaja. Lagi pula, Iqa sendiri lebih selesa menyanyi bersama band berbanding menggunakan minus one,” katanya.

Bercerita mengenai single keduanya itu, Iqa berkata, lagu bergenre pop ballet itu mempunyai lirik dan melodi yang mengasyikkan dan tidak mustahil akan popular seperti single pertamanya, Di Penghujungnya.

Selain itu, Iqa atau nama sebenarnya, Nursyafiqah Nasratullah Mohd Nor turut bakal tampil dengan filem 29 Februari terbitan KRU Studios tidak lama lagi.

“Dalam 29 Februari, watak Iqa kecil sahaja. Iqa pegang watak sebagai seorang peguam. Sejujurnya Iqa memang suka berlakon dan jika diberi peluang, Iqa gemar berlakon dalam filem bergenre berat seperti seram, aksi. Ia lebih serasi dengan Iqa,” katanya.

Enggan kenang kisah lalu

Jika menyebut nama Iqa Mentor, peminat pasti akan segera teringatkan kisah gambar basah di parti Media Hiburan, penghujung tahun lalu.

Biarpun telah beribu kali memohon maaf, masih segelintir pihak beranggapan, Iqa sengaja mencipta populariti murahan.

“Sejujurnya, bagi Iqa sendiri, ia adalah satu pengajaran buat Iqa. Salah Iqa juga kerana tak peka dengan keadaan sekeliling. Pada mulanya memang Iqa ‘down’ dan rasa sedih dengan kontroversi yang berlaku. Sebenarnya, baju itu berwarna ungu. Iqa tidak perasan ia jadi sebegitu jarang bila basah. Cuma Iqa sedih bila ada pihak yang tak sensitif dan siarkan gambar itu.

“Kalau boleh Iqa tak mahu lagi kenang cerita itu apatah lagi ia berlaku tahun lepas. Walaupun sehingga sekarang masih ada yang bercakap, malah ada sebuah pusat membeli belah turut gunakan gambar itu untuk mempromosikan produk mereka, tapi Iqa harap cerita ini akan berakhir segera. Kalau boleh, biarlah ini kali terakhir Iqa bercakap pasal isu baju itu,” ulasnya.

Iqa berkata, pada luarannya dia bukanlah seorang yang gemar bergaya seksi. Iqa juga bersyukur peminat sentiasa berdiri teguh di belakangnya selepas peristiwa itu.

“Orang yang kutuk Iqa, yang marah Iqa semuanya orang yang mengikuti perkembangan selebriti tetapi mereka bukan peminat saya. Kebanyakan peminat saya memberi sokongan moral pada saya.

“Lagi pula, mereka kenal Iqa bagaimana dan mereka tahu Iqa bukan seorang yang berpakaian seksi,” tegasnya.
Iqa berkata, bagi peminat yang mahu mengikuti perkembangannya boleh melayari laman sosial Facebook dan mencari Iqa Mentor Official dan Twitter- @PqotThunder.