Murai: Mojo Eksperimentasi Muzik Edry

By 16/03/2012October 1st, 2015Bahasa Melayu

KUALA LUMPUR, 16 MAC 2012: Cukup sinonim dengan penjenamaan KRU, kali ini Edry Abdul Halim melangkah ke dunia baru dengan menubuhkan band, Mojo.

Jelas Edry, Mojo merupakan peluangnya untuk berekperimentasi muzik sementelah telah terlalu selesa dengan muzik KRU yang telah 20 tahun diperjuangkannya.

“Saya tubuhkan band Mojo untuk saya mencurahkan kreativiti serta saya mahu berekperimentasi muzik. Orang telah 20 tahun kenal saya dengan KRU, biarlah orang dengar sesuatu yang baru daripada saya pula,” katanya kepada portal murai.com.my membuka cerita mengenai band barunya itu.

Dianggotai oleh dirinya selaku pemain synthesizer, bekas finalis One In A Millon, Aweera selaku vokalis utama, gitaris, Denny, dan pemain drum, Johar, kata Edry, Mojo membawa muzik berkonsepkan Synth-Rock.

“Mojo bakal memperkenalkan era baru muzik rock tanah air berlandaskan irama progresif yang dipengaruhi oleh kumpulan-kumpulan lagenda British seperti The Beatles, Queen, dan Led Zeppelin,” jelasnya.

Bercerita tentang maksud band berkenaan tutur Edry, Mojo, bermaksud aura atau dalam erti kata lain adalah x-factor. Sebagai pengenalan single terbaru mereka berjudul Andai Ku Bercinta telah pun dimainkan di radio bermula minggu ini.

“Mojo ada tarikan tersendiri. Kekuatannya bukan sahaja pada nama, tetapi pada single pertama yang dipertaruhkan sebagai landasan arah tuju Mojo,”katanya.

Masih lagi dalam proses menghasilkan album penuh yang bakal diterbitkan sebelum penghujung tahun ini, jelas Edry, tiga single Mojo akan berada di pasaran dan dijual secara digital.

“Single pertama kami, Andai Ku Bercinta Lagi telah pun dimainkan di radio bermula minggu ini, dan selepas itu single Agar Tetap Indah dan Mimpi pula akan diperkenalkan. Ketiga-tiga single itu nanti akan dijual secara digital kepada peminat.

Bagi yang belum mendengar single Andai Ku Bercinta, berikut merupakan klip video single sulung, Mojo buat tontonan pembaca murai.com.my.