GUA: Sofazr Persembah Lagu Tema Filem Cinta Kura-Kura

By 18/01/2011October 1st, 2015Bahasa Melayu

Bagi melengkapkan penerbitan filem fantasi komedi,  ‘Cinta Kura-Kura’, KRU Studios telah memilih kumpulan Sofazr untuk menyanyikan lagu tema filem ini. Lagu berjudul ‘Pencinta Terbaik’ itu adalah ciptaan Edry Abdul Halim dan satu sesi penggambaran muzik video telah pun  dijalankan di Studio B KRU Studios, Cyberjaya baru-baru ini.

CST Production tampil sebagai salah sebuah produksi tempatan yang telah diberikan kerpecayaan sepenuhnya oleh KRU Studios untuk melaksanakan kerja-kerja pengambaran muzik video tersebut. Muzik video yang berada di bawah arahan Al Fahim Mokhtar ini diberi sentuhan elemen-elemen keceriaan warna. Ini adalah bertujuan untuk memastikan konsep muzik video ini selari dengan elemen lakaran kertas yang terdapat di dalam filem fantasi komedi tersebut.

Mengulas tentang pemilihan Sofazr, Presiden Eksekutif KRU Studios memberitahu pihaknya sudah lama mengikuti perkembangan Sofazr dan yakin kumpulan itu boleh membawakan lagu itu dengan baik.

“Lagu ini sememangnya memerlukan sentuhan live band dan Sofazr bukan sahaja dilihat sebagai pilihan yang tepat, malah mampu membawa lagu ini dengan baik.  Lagu tema dan MTV untuk filem bukan sesuatu yang baru buat kami, tetapi sudah menjadi tradisi KRU merangkul banyak kejayaan melalui  lagu tema dan antaranya seperti ‘Sedetik Lebih’ (Hikayat Merong Mahawangsa), ‘Penyembuh Rindu’ (Magika) dan banyak lagi” ujar Norman.

Sementara itu, Sofazr turut mengakui yang mereka berasa cukup berbesar hati kerana mendapat kepercayaan daripada Edry untuk menyanyikan lagu tema itu. Jelas Zimi, kerjasama julung-julung kali bersama KRU ini akan digunakan sebaik-baiknya.

“Pada awalnya, kami hanya diberikan sebuah demo untuk diperdengarkan. Selepas mendengar demo tersebut, kami sepakat dan membuat keputusan untuk memberikan kerjasama sepenuhnya kepada KRU Studios memandangkan sebelum ini kami belum pernah bekerjasama dengan Edry dan peluang yang muncul sekarang harus digunakan sebaiknya. Edry seorang komposer yang mempunyai kreativiti tersendiri, memahami tahap dan keperluan seorang artis di dalam berkarya. Kami yakin lagu ini mampu menarik minat ramai terutamanya golongan remaja” ulas Zimi.

Muzik video ‘Pencinta Terbaik’ dijangka ditayangkan kepada umum bermula Februari hadapan bersempena dengan promosi filem ‘Cinta Kura-Kura’. Filem yang menampilkan Tiz Zaqyah sebagai heroin ini akan berada di pawagam bermula 1 March 2012.