GUA: Selepas Belukar, Jason Tidak Mahu Menunggu Lama

By 08/01/2012October 1st, 2015Bahasa Melayu

Walaupun pengarah filem Belukar ini tewas gelaran Pengarah Harapan kepada filem Magika arahan Edry Abdul Halim di FFM23, ia sedikit pun menghalang peluangnya untuk mengarah filem terbaru terbitan KRU Studios, Ular.

“Saya akui Ular merupakan sebuah penceritaan yang berbeza berbanding Belukar. Ular ada nilai komersial yang berpotensi untuk diketengahkan. Manakala Belukar lebih kepada sebuah drama. Saya harus berani untuk cuba melakukan sesuatu yang berbeza kerana kalau mahu menunggu untuk mendapatkan skrip seperti Belukar, saya harus menunggu lagi 5 tahun untuk arah filem,” ulas Jason sekiranya kualiti sinema pada Belukar tidak dicapai menerusi Ular.

Menerima tawaran tersebut tiga minggu lalu, Jason menggunakan masa hampir dua minggu untuk memperkuatkan lagi naskhah tersebut dan memperbaiki aspek lakon layar filem itu.

“Memang ia sebuah projek filem yang agak ambitious kerana industri perfileman kita tidak pernah melakukannya sebelum ini. Saya terima tawaran tersebut pertama kerana naskhahnya dan kedua kerana filem ini diterbitkan oleh KRU Studios,”

“Ceritanya panjang dan banyak subplot. Saya memperbaiki jalan cerita dah naskhah tersebut selama dua minggu agar bahagian-bahagian kosong dapat diisi dengan baik. Kita semua telah menonton filem-filem seperti Jaws dan Anaconda. Kita tengok filem tersebut sekadar memaparkan ramai watak menjadi mangsa dan mati di penghujungnya.”

“Sebolehnya saya memperkuatkan setiap watak agar penonton dapat mendekatkan diri mereka dan merasai emosi mereka. Saya mahu apabila mereka mati nanti ia akan meninggalkan kesan emosi kepada penonton dan mereka terheret dalam emosi tersebut. Saya mahu meneroka sifat kemanusiaan dan bagaimana manusia berdepan dengan cabaran untuk meneruskan survival untuk terus hidup.” tambah Jason lagi.

Bakal menggunakan visual kesan khas, pasukan di bawah kelolaan Yusry, Jason akui ia tugas yang amat sukar baginya kerana sudah terbiasa dengan genre drama.

“Memang mencabar kerana banyak penggunaan CGI. Kali ini penggunaan CGI akan digabungkan dengan elemen animatronix. Ini bermakna pelakon harus berlakon bersama dengan ular sebenar dan digabungkan dengan ular latex animatronix serta CGI di fasa pos-produksi.” jelas Jason lagi.

Selain Yusry dan Lisa Surihani, Ular turut dibintangi Namron, Zarina Zainuddin, Izzue Islam, Tya, Sharifah Sakinah, Zarina Anjolie, Syuk, Chew Kin Wah dan Harun Salim Bachik.

Pelancaran filem Ular berlangsung di KRU Studios, Cyberjaya petang semalam.