GUA: Eksperimentasi Seni Nizam Zakaria

By 22/02/2012October 1st, 2015Bahasa Melayu

Tinggal beberapa hari lagi, filem komedi romantik sentuhan pengarah berbakat Nizam Zakaria bakal menemui peminat industri perfileman tanahair. Cinta Kura-Kura lakonan hebat Tiz Zaqyah, Aeril Zafrel, Zizan Razak dan beberapa nama hebat lain ini sudahpun menjadi perbualan peminat filem tempatan. GUA berpeluang mendekati dengan lebih dekat lagi pengarah ini sewaktu preview filem ini yang bertempat di The Curve, Damansara baru-baru ini.

Melihatkan kembali buah tangan Nizam terdahulu, GUA berpendapat pengarah ini tidak gentar untuk menampilkan karya-karya yang berbeza dari norma dunia penyiaran tanahair. Karya beliau yang terdahulu seperti drama Ponti Anak Remaja berjaya mencapai matlamat tersendiri khasnya menjadi wahana hiburan buat penonton Malaysia.

“Sejujurnya, pengalaman mengarahkan Cinta Kura-Kura kali ini adalah satu pengalaman yang ternyata berbeza. Banyak benda yang perlu saya dan pihak produksi perhalusi terutamanya apabila melibatkan penghasilan imej janaan computer (CGI). Bagi saya, tahap CGI di Malaysia buat masa kini boleh dibanggakan”, ujar Nizam.

“Jika ingin dibandingkan dengan karya luar, saya berpendapat mereka punya lebih banyak tenaga kerja yang sememangnya arif dalam teknologi seperti CGI ini. Di negara kita, tidak dinafikan ada yang berpengetahuan luas tetapi dek kerana jumlahnya tidak ramai, maka kita sendiri tidak berupaya menghasilkan lebih banyak karya sebegini”, jelas Nizam yang juga gemar menulis.

Novelis ini juga berkata, skop serta bidang tugas seorang pengarah dan penulis novel adalah berbeza. Menulis memerlukan lebih banyak masa dan ruang khasnya untuk menghasilkan penulisan yang baik serta dapat difahami maksudnya. Justeru, apabila GUA bertanyakan sama ada filem Cinta Kura-Kura ini akan diadaptasi ke dalam bentuk novel, Nizam mengakui ianya tidak akan dilakukan dalam masa terdekat.

“Dalam menghasilkan filem ini, saya banyak melakukan penyelidikan dan juga bertanya kepada yang lebih arif khususnya dari sudut teknikal. Selain dari itu, saya yakin yang menjadi kekuatan setiap penceritaan adalah peranan setiap watak itu untuk ‘bercerita’. Maksud saya, jika sampai penghayatan dan kupasan sesuatu watak itu, penonton berupaya memahami perjalanan cerita itu sendiri”, jelas penulis novel Susuk dan Seri Tertangguh ini.

GUA sempat juga bertanyakan mengenai kelaziman Nizam menghasilkan karya berunsurkan kemasyarakatan dan kemanusiaan. Nizam menjawab karya sebegini yang juga menyemai nilai kekeluargaan amat dekat di hati beliau dan juga dekat di hati para penonton. ‘Approach’ sebegini memberikan ruang untuk dirinya bereksperimentasi dan berimaginasi dengan lebih luas lagi.

GUA juga difahamkan, pengarah yang meminati haiwan seperti kucing ini sedang dalam perancangan untuk menghasilkan filem yang juga mengangkat nilai kekeluargaan ke dalam karya terbaru beliau. Filem yang khabarnya menampilkan Usop Wilcha sebagai tunjang utama ini bakal memulakan pengambarannya tidak lama lagi.

Sesungguhnya sentuhan pengarah sebegini amat diperlukan oleh industri perfileman tanahair. Berani keluar dari kepompong elemen kebiasaan dalam filem, anjakan paradigma yang berterusan dan proaktif mampu mengangkat martabat dunia perfileman tempatan. GUA yakin dengan idea serta kerja keras Nizam, beliau mampu menghasilkan karya yang lebih hebat lagi. Buat pembaca GUA, jangan lupa untuk menonton filem Cinta Kura-Kura di pawagam berdekatan anda 1 Mac ini.