GUA: Aeril Zafrel Lelaki Lurus Dalam Cinta Kura-Kura

By 13/02/2012October 1st, 2015Bahasa Melayu

Selepas popular dengan watak Roy dalam filem ‘Aku Tak Bodoh’, pelakon muda, Aeril Zafrel kini bakal muncul dengan filem terbaru, ‘Cinta Kura-Kura’ pada 1 Mac 2012. Filem komedi romantik arahan Nizam Zakaria ini merupakan filem terbaru terbitan KRU Studios.

“Saya memegang watak sebagai Adam, seorang lelaki lurus yang pemalu tapi kreatif. Adam mula rapat dengan jiran barunya, Nani, namun tidak disukai oleh Nico, binatang peliharaan Nani,” ujar Aeril yang bergandingan dengan Tiz Zaqyah dalam filem yang menggunakan teknik CGI ini.

“Ini kali pertama saya kenal rapat dengan Tiz dan saya lihat dia seorang yang kreatif, terbuka dan tidak hipokrit. Tiz menjadi diri sendiri dan kami juga banyak berbual untuk mendapatkan keserasian supaya tidak kekok.”

Menyentuh mengenai cabaran melakonkan watak Adam dalam filem ini, Aeril berkongsi, “Saya kena berimaginasi kononnya sedang memegang kura-kura. Saya kena bercakap sendirian kerana kura-kura dalam filem ini menggunakan teknik CGI.

“Selain itu, saya juga berdebar menanti filem kedua ini, sebab sebelum ini filem ‘Aku Tak Bodoh’ tercalon dalam Anugerah Skrin, jadi tanggungjawab saya untuk filem ini lebih besar.”

Dalam perkembangan lain, pelakon drama ‘Kisah Kaisara’ dan ‘Durja Ningsun’ ini turut bersyukur apaibila tercalon sebagai Artis Baru Lelaki Popular di ABPBH 2011.

“Alhamdulillah, saya anggap ini perkara positif untuk kerjaya seni saya. Setiap yang bertanding pasti inginkan kemenangan, tapi saya tak letakkan sebarang harapan. Saya hanya ingin buatkan yang terbaik untuk peminat saya,” ujar Aeril mengakui dia tidak sepopular artis lain.

Jangan lepaskan peluang untuk menonton filem lakonan Aeril, ‘Cinta Kura-Kura’ yang bakal ditayangkan pada 1 Mac ini. Cinta Kura-Kura mengisahkan tentang seorang gadis ceria berusia 21 tahun bernama Nani bersama binatang peliharaannya, Nico.

Nico adalah seekor kura-kura spesis terancam dan ia mempunyai kelebihan luarbiasa iaitu boleh bercakap dengan manusia. Kisah romantik komedi ini bermula di saat Nani berpindah ke rumah abangnya, Amin. Jiran Nani, Adam telah jatuh hati dengan Nani sejak kali pertama dia memandangnya. Tetapi Nico tidak suka dengan Adam lalu berusaha mensabotaj usaha Adam untuk mendekati Nani.

Dalam masa yang sama, Nico mempunyai calon kegemarannya sendiri iaitu Fadzly, seorang pengurus kedai haiwan untuk berpacaran dengan Nani. Walau bagaimanapun, Fadzly mempunyai motif jahat untuk mendekati Nani bertujuan untuk menculik Nico dan dijual ke sebuah restoran sebagai makanan eksotik.

Menarikna, filem cereka berkonsep fantasi romantik komedi ini julung-julung kali menampilkan teknologi CGI bagi animasi watak Nico, disampaikan dalam babak serta dialog lucu sesuai untuk tontonan umum.