Utusan Online: Mara, KRU Academy jalin kerjasama lahirkan modal insan

By 01/06/2012Bahasa Melayu

KUALA LUMPUR 31 Mei – Majlis Amanah Rakyat (Mara) menjalin kerjasama dengan KRU Academy bagi melahirkan modal insan berkemahiran tinggi dalam industri kreatif negara.

Pengerusinya, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, pihaknya yakin kerjasama tersebut mampu menggembleng tenaga membentuk pelajar berkualiti mengikut acuan dan kehendak semasa industri berkenaan.

“Sebagai permulaan, Mara dan KRU Academy akan menumpukan kepada tiga program kemahiran jangka pendek iaitu Kemahiran Kesan Khas Visual, Animasi 3D dan Animasi 2D.

“Program ini dijangka bukan sekadar dapat menampung keperluan industri kreatif dalam negara malah sehingga di peringkat Asia dan global,” katanya ketika berucap pada majlis Kerjasama Program Industri Kreatif Mara-KRU di Menara Mara di sini hari ini.

Perjanjian kerjasama kedua-dua belah pihak itu ditandatangani oleh Timbalan Ketua Pengarah (Usahawan) Mara, Mohd.Rosdi Ismail dan Pengerusi KRU Academy, Profesor Datuk Dr. Nazaruddin Abdul Jalil.

Hadir sama, Presiden Eksekutif Kumpulan Syarikat KRU, Norman Abdul Halim.

Menurut Idris, beliau juga yakin kerjasama tersebut dapat membantu golongan bumiputera menjana pendapatan tinggi kerana industri berkenaan menawarkan peluang cukup besar.

“Kerjasama dalam pelbagai aspek terutama pendedahan ketika pembelajaran tiga bidang berkenaan bakal memberi impak besar kepada industri kreatif selain mampu memacu ekonomi lebih mapan serta berdaya saing selari dengan keperluan dan aktiviti ekonomi dunia.

“Inisiatif ini merupakan agenda penting dalam pembangunan modal insan negara akan datang terutama bagi anak-anak Melayu dalam memajukan diri, keluarga, masyarakat dan negara,” katanya.

Sementara itu, Norman berkata, pihaknya memulakan langkah menawarkan tiga bidang berkenaan kerana menyifatkannya sebagai ‘kunci’ kepada industri kreatif.

“Daripada tiga bidang ini, saya yakin ia bakal membuka lebih banyak peluang pembelajaran lain melibatkan industri termasuk media dan hiburan.

“Diharapkan dengan adanya program ini, ia mampu memberi pendedahan dan latihan secara berterusan sekali gus berjaya menampung keperluan industri yang kekurangan pakar animasi,” jelasnya.

Norman berkata, kesemua kursus ditawarkan direka khas oleh pakar-pakar industri kreatif berteraskan konsep latihan praktikal sejajar dengan perkembangan semasa industri global.