Utusan: Imiginasi & Perlambangan

By 06/03/2012October 1st, 2015Bahasa Melayu

Sebelum ke layar perak, Nizam Zakaria dikenali sebagai pengarah siri televisyen Gaia (2008/2009), Hotel Mania (2010) dan Ponti Anak Remaja (2011). Dia juga pernah mengarahkan drama Radio Gaga (2007) yang ditayangkan di TV2.

Radio Gaga adalah permulaan fantasi Nizam tentang hubungan psikologi manusia dengan haiwan. Watak utamanya digambarkan memelihara seekor kucing yang boleh bercakap selepas berlakunya satu kemalangan di makmal.

Malah dalam Gaia mahupun Ponti, pengarah muda itu cuba mencipta sebuah dunia di mana manusia boleh berinteraksi dan berkawan dengan makhluk halus.

Filem pertamanya, Cinta Kura-Kura meneruskan obsesi Nizam untuk meneroka hubungan manusia dengan dimensi lain – tidak semestinya hantu tetapi suatu entiti yang boleh dirujuk sebagai imaginary friends.

Setiap dari kita pasti mempunyai teman imaginasi semasa kecil dan di sini Nizam memilih kura-kura sebagai subjek.

Nani (Tiz Zaqyah) yang baru kematian ibu bapanya bertemu dengan seekor kura-kura di sebuah tasik, ketika dia melayarkan sampan-sampan kertas.

Kura-kura itu dinamakan Nico (meminjam suara Zizan Razak). Nico menjadi tempat Nani berkongsi cerita sebagai saluran eskapisme ‘bawah sedar’ untuk remaja seusianya meluahkan perasaan.

Apa yang Nani tidak tahu ialah Nico mampu berkata-kata tetapi hanya melakukannya apabila dia mahu.

Untuk memulakan hidup baru, Nani dan abangnya, Amin (Bob AF) berpindah rumah. Mereka berjiran dengan Adam (Aeril Zafrel), seorang pemuzik muda yang tinggal bersama ibunya (Norhayati Taib). Keakraban Adam dan Nani membuatkan Nico cemburu.

Dia bukan saja berasa tersisih tetapi menganggap Fadzly (Fizz Fairuz), seorang pemilik kedai haiwan sebagai calon yang lebih layak untuk menjadi kekasih Nani.

Selaku pengarah dan penulis skrip, Nizam menjadikan watak Nico sama seperti manusia, ada sifat hitam dan putihnya. Walaupun Nico ‘teman baik’ Nani, dia menentang Adam kerana status dan kepentingan, sama seperti sifat manusia yang mementingkan darjat dalam sesuatu perhubungan.

Pada dasarnya, Cinta Kura-Kura adalah sebuah filem komedi romantik yang ringan. Jalan ceritanya ringkas, mudah difahami dan dialognya senang dihadam. Nizam memilih pendekatan yang agak slapstik dan mengarut untuk beberapa babak komedinya tetapi mungkin dimaafkan kerana ini filem fantasi.

Misalnya, antara babak terakhir ketika pelbagai jenis haiwan terlepas dari sangkar restoran makanan eksotik. Pasti ada yang tertanya mengapa perlu lembu dan gajah muncul di situ, tetapi ini cara Nizam yang sedikit ‘over the top’ untuk mencuit perasaan penonton.

Saya tertarik dengan beberapa perlambangan yang digunakan. Nico gemar membaca buku cerita Sang Arnab dan Kura-Kura. Ini adalah satu ego boost untuk karakter haiwan sepertinya yang inginkan persamaan taraf seperti manusia, kerana dalam perlumbaan dengan arnab, kura-kura yang menang.

Pekerja kedai haiwan, Toq (lakonan Munir Phyne Ballerz) pula sering memakai cekak telinga arnab. Sepintas lalu, karakter dengan gaya sebegitu nampak lucu. Tetapi sebenarnya, ia satu simbol yang mewakili persaingan di antara Fadzly (arnab) dan Adam (kura-kura) dalam memikat hati Nani.

Malah judul filem itu sendiri ialah perlambangan cinta Adam dan Nani, iaitu cinta yang mengambil masa untuk terjalin dan harus melalui beberapa rintangan sebelum ‘kemenangan’ menyebelahi mereka.

Zizan adalah pilihan yang tepat untuk watak Nico. Intonasi dan gaya percakapannya ‘masuk’ dengan gerak tubuh kura-kura itu, sekali gus membuatkan kehadiran Nico dipercayai. Begitu juga dengan suara Fara Fauzana sebagai kura-kura Mira dan Usop Wilcha sebagai kura-kura Atok.

Sementara Tiz dapat membebaskan dirinya daripada belenggu watak wanita dewasa seperti yang ditonton dalam siri Nur Kasih (2009) dan Nur Kasih The Movie (2011). Sesuai dengan usianya yang sebenar, Tiz tidak kekok untuk menzahirkan peranan Nani yang sedikit keanak-anakan, periang dan pintar.

Bagaimanapun, keserasiannya dengan Aeril sukar untuk dirasai pada permulaan cerita. Saya tidak pasti jika ini memang disengajakan atau Aeril yang berasa kurang selesa. Namun melihat dari sudut yang lain pula, sifat-sifat Adam yang ‘clueless’, lembab dan pemalu seperti kena dengan lakonan yang sedemikian.

Selain lakonan, Nizam juga bermain dengan warna-warna terang, terutamanya merah dan hijau untuk mengekspresikan perasaan dan mood keseluruhan filem. Ini dapat dilihat menerusi warna-warna baju yang dipakai Nani mahupun Adam.

Kerja-kerja kesan khas yang melibatkan kura-kura agak membanggakan. Cuma babak kemuncak ketika di dapur dan di perkarangan restoran kelihatan agak kartun. Imej manusia dan CGI yang disatukan nampak janggal dan tidak cukup halus pembikinannya.

Sejujurnya, jika menonton filem ini, anda akan menyaksikan beberapa babak lazim yang biasa ditonton, dirasai dan didengar. Malah, selok-belok ceritanya juga boleh dibaca dan diteka kesudahannya dengan mudah.

Namun Nizam ialah pengarah yang tahu untuk meletakkan watak dan cerita pada tempat yang betul. Yang paling penting, tidak menghina pemikiran penonton biarpun secara asas, apa yang disajikan adalah luar dari kotak logik