Sinar Harian: Mojo Pertaruh Andai Ku Bercinta Lagi

By 24/03/2012October 1st, 2015Bahasa Melayu

Sebuah kumpulan baru yang menggelar diri mereka Mojo bakal muncul dengan EP pertama mereka yang mengandungi tiga lagu termasuk satu lagu ciptaan komposer dan penerbit terkenal, Edry Abdul Halim.

Lagu ciptaan Edry ini berjudul Andai Ku Bercinta Lagi dan merupakan single pertama kumpulan Super-Band terbaru di bawah KRU Music yang mempertaruhkan konsep Synth-Rock.

Dianggotai empat pemuzik serba pengalaman yang terdiri daripada Aweera (bekas finalis One In A Million) selaku vokalis utama, Denny (pemuzik undangan studio dan pentas berpengalaman) selaku gitaris dan pemain dram, Johar (anggota kumpulan Tilu).

Menariknya, kumpulan ini turut menampilkan Edry sebagai pemain synthesizer, sekali gus melengkapkan kumpulan dinamik ini.

Sebagai permulaan sebelum mengeluarkan album penuh yang bakal diterbitkan menjelang akhir tahun ini, Mojo akan memperkenalkan dua lagi single iaitu Agar Tetap Indah ciptaan gitaris, Denny dan Mimpi ciptaan pemain dram, Johar.

Mojo bakal memperkenalkan era baru muzik rock tanah air berlandaskan irama progresif yang dipengaruhi kumpulan legenda British seperti The Beatles, Queen, dan Led Zeppelin.

Mojo bermaksud aura atau dalam erti kata lain sebagai x-factor, sesuatu yang mempunyai daya tarikan dan teramat istimewa.

Maklumat mengenai kumpulan ini boleh didapati di www.krustudios.com atau Facebook serta Youtube.