Sensasi Selebriti: Majlis Pelancaran KRU Academy

By 05/06/2012Bahasa Melayu

K-Workers Development Center, Cyberjaya. Selaras dengan pelan Kerajaan Malaysia untuk mencapai status negara ekonomi berpendapatan tinggi, membudayakan inovasi dan kreativiti, serta meningkatkan kemahiran dan jumlah modal insan tempatan yang berkualiti dalam industri kreatif, Kumpulan Syarikat KRU telah mengambil inisiatif untuk menubuhkan KRU Academy sebagai institusi pengajian tinggi bertaraf vokasional yang memberikan tumpuan kepada kemahiran berkaitan industri media dan hiburan.

Majlis pelancaran KRU Academy telah disempurnakan oleh Y.Bhg Datuk Badlisham Ghazali, Ketua Pegawai Eksekutif, Multimedia Development Corporation (MDeC) dan turut disaksikan oleh rakan strategik KRU Academy iaitu Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dan Universiti Multimedia Malaysia (MMU) selain daripada para jemputan khas dan wakil pihak media.

Mulai bulan 2hb Julai 2012, KRU Academy akan memperkenalkan 3 (tiga) program Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) yang memenuhi sepenuhnya keperluan National Occupational Skills Standard oleh JPK, Kementerian Sumber Manusia Malaysia iaitu bagi bidang kemahiran Kemahiran Kesan Khas Visual,Animasi 3D dan Animasi 2D. Selain daripada tenaga pengajar yang berpengalaman, KRU Academy juga turut menyediakan perisian komputer yang terkini untuk menghasilkan kandungan kreatif yang bertaraf antarabangsa.Kesemua kursus adalah direka khas oleh pakar-pakar industri kreatif berteraskan konsep latihan praktikal sejajar dengan perkembangan semasa industri media dan hiburan di peringkat global.

Pada majlis yang sama, KRU Academy turut memperkenalkan Panel Penasihatnya yang terdiri daripada pakar-pakar dari dalam dan luar negara iaitu: –

1) Michael C. Ellis
Presiden & Pengarah Urusan, Asia Pasifik
Motion Pictures Association

2) Joan Vogelesang
Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif
Toon Boom Animation

3) Datin Paduka Shuhaimi Baba
Presiden
Persatuan Penerbit Filem Malaysia

4) Ahmad Izham Omar
Ketua Pegawai Operasi – Rangkaian Televisyen
Media Prima Berhad

5) Khairul Anwar Salleh
Naib Presiden Perniagaan Melayu
ASTRO

6) Hasnul Hadi
Pengurus Kanan
Rhythm & Hues Malaysia

Industri kreatif khususnya bidang penghasilan kesan khas visual, animasi 3D dan 2D mampu menjana pulangan ekonomi yang besar kepada negara. Kewujudan KRU Academy akan memberi satu dimensi baru kepada ekosistem industri media dan hiburan negara dengan menyediakan keperluan tenaga kerja yang terlatih, berkaliber serta kreatif.

“MDeC selaku peneraju utama didalam pembangunan industri animasi dan kandungan digital Negara sememangnya menanti-nantikan kewujudan institusi kemahiran yang khusus didalam bidang ini seperti KRU Academy.MDeC berharap kewujudan KRU Academy akan melahirkan lebih ramai lagi karyawan dengan kepakaran tinggi untuk membantu meningkatkan kualiti penerbitan tempatan untuk ke pasaran global” menurut Y.Bhg. Datuk Badlisham Ghazali, Ketua Pegawai Eksekutif, MDeC.

Norman Abdul Halim, Presiden Eksekutif Kumpulan Syarikat KRU berkata “Industri media dan hiburan tempatan kini sedang rancak berkembang diperingkat tempatan dan bergerak ke arah penerokaan pasaran global. KRU telah memenangi pelbagai anugerah di peringkat tempatan dan antarabangsa dan produk kami juga telah dieksport ke pasaran dunia. Keperluan pakar-pakar dalam bidang animasi ini bukan saja bagi memenuhi keperluan Kumpulan Syarikat KRU tetapi juga untuk majikan-majikan lain di dalam industri media dan hiburan di Malaysia.”

Prof Dato’ Nazaruddin Abdul Jalil, Pengerusi KRU Academy telah mengumumkan kerjasama dengan Fakulti Multimedia Kreatif MMU iaitu fakulti peneraju dalam bidang-bidang kreatif seperti animasi, kesenian media, realiti alam maya, rekabentuk pengiklanan dan rekabentuk antara muka selaku “Penasihat Akademik” bagi memastikan kualiti program latihan akan sentiasa berada di tahap yang tinggi di negara ini.

Sesi pertama pengajian akan bermula pada 2hb Julai 2012. Kepada yang berminat, boleh memohon secara talian terus melalui www.kruacademy.com mulai 20hb April 2012 atau email kepada hezrey.shariff@kruacademy.com sebelum 31hb Mei 2012. Syarat kelayakan adalah lulus peperiksaan SPM dan mereka yang mempunyai kemahiran melukis akan diberi keutamaan. Pemohon boleh memilih untuk mengikuti pengajian dalam Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris; dan harus lulus ujian buta warna di sesi temuduga.

Latarbelakang Kumpulan Syarikat KRU

Kumpulan Syarikat KRU adalah salah sebuah syarikat peneraju di dalam industri media dan hiburan tanahair.Ditubuhkan pada tahun 1992, KRU telah menghasilkan pelbagai kandungan media dan hiburan dalam format filem cereka, animasi, rancangan televisyen dan muzik dengan kepakaran dalam bidang penerbitan dan pengedaran. Syarikat kami juga dikenali dengan penggunaan aplikasi “computer generated imagery” (CGI), penerbitan visual dan audio digital dengan kakitangan yang berpengalaman dan terlatih, teknologi serta peralatan yang canggih dan terkini. Produk kami bukan saja mendapat sambutan diperingkat tempatan tetapi juga diperingkat antarabangsa disamping memenangi pelbagai anugerah serta pengiktirafan.

Latarbelakang Multimedia Development Corporation (MDeC)

Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) adalah perbadanan milik kerajaan yang diwujudkan bagi membantu pembangunan dan promosi usaha ICT Malaysia, MSC Malaysia.MDeC berperanan menasihatkan Kerajaan Malaysia berhubung perundangan dan polisi ICT, membangunkan MSC Malaysia sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi dan menetapkan piawaian penemuan baru bagi ICT dan operasi multimedia.MDeC turut mempromosi MSC Malaysia di peringkat tempatan dan global, selain menyokong syarikat yang berada dalam lingkungan lokasi MSC Malaysia.

MDeC bekerja rapat dengan pelbagai pihak dan agensi kerajaan bagi memastikan MSC Malaysia menawarkan persekitaran bersesuaian bagi syarikat untuk meneroka potensi ICT dan teknologi multimedia secara optimum.

Latarbelakang Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK)

Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), di bawah Kementerian Sumber Manusia bertanggungjawab untuk membangunkan modal insan yang kompeten melalui Sistem Persijilan Kemahiran Malaysia dimana matlamatnya adalah untuk mengarusperdanakan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) sebagai persijilan tunggal kebangsaan bagi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TEVT). Melalui Akta Pembangunan Kemahiran Kebangsaan 2006 (Akta 652), JPK mempunyai kuasa daripada segi perundangan bagi menyelaras, merumus, dan menggalak latihan kemahiran melalui pelaksanaan Sistem Persijilan Kemahiran Malaysia dimana pentauliahan, jaminan kualiti dan persijilan program latihan adalah berasaskan kepada NOSS. Calon yang mencapai kompetensi NOSS yang ditetapkan, layak dipersijilkan dengan SKM Tahap 1 hingga 3, Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) Tahap 4 dan Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM) Tahap 5.

Bagi memperkukuhkan pembangunan sumber manusia mahir negara, satu jenama baru dikenali sebagai SkillsMalaysia telah diperkenalkan pada tahun 2011 dimana ia merupakan salah satu daripada projek di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia, Datuk Sri Najib Tun Razak. SkillsMalaysia menjadi sumber inovasi latihan kemahiran Negara yang melambangkan jangkauan kemahiran ke tahap cemerlang bagi memenuhi keperluan negara untuk melahirkan 40% pekerja mahir tinggi menjelang 2020. Melalui jenama ini juga kesedaran terhadap peluang kerjaya dalam bidang latihan kemahiran akan dipertingkatkan seterusnya menyokong hasrat kerajaan dalam menjana ekonomi berpendapatan tinggi.

Latarbelakang Universiti Multimedia, Malaysia
Universiti Multimedia (MMU) telah ditubuhkan pada tahun 1996 oleh Telekom Malaysia bagi menyahut cabaran untuk mendidik generasi pemimpin dan pekerja berpengetahuan tinggi.Sebagai universiti swasta yang pertama di Malaysia, MMU merupakan model bagi penubuhan universiti swasta di negara ini.Pada tahun ini, universiti ini mempunyai lebih daripada 20,000 pelajar di kedua-dua kampusnya di Melaka dan Cyberjaya. Ia telah menghasilkan lebih 30,000 graduan dan kajian baru-baru ini menunjukkan bahawa lebih 90% daripada graduan MMU mendapat pekerjaan dalam tempoh 6 bulan tamat pengajian. MMU mempunyai hampir 4,000 pelajar antarabangsa dari 77 buah negara.

Sebagai sebuah universiti yang giat menjalaknkan penyelidikan dan pembangunan, serta menjalinkan hubungan yang rapat dengan industri melalui kolaborasi dan perkongsian penyelidikan, MMU kini menjadi tuan rumah kepada 13 Pusat Penyelidikan dimana fokus diberikan kepada bidang Teknologi Nano, Sistem Mikro, Biometrik, Realiti Alam Maya, Gelombang Mikro dan Telekomunikasi, Kejuruteraan, Fotonik, Robotik dan Perniagaan. Universiti ini menawarkan program Ijazah Sarjana Muda dan Pasca Ijazah dalam bidang Kejuruteraan, Sains Maklumat dan Teknologi, Pengurusan, Perniagaan, Undang-undang, Multimedia Kreatif, Teknologi Maklumat Perubatan dan Bioinformatik .
MMU diberi status cemerlang oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia di bawah penilaian SETARA dan mendepat tempat ke-171 daripada 200 universiti terbaik Asia, yang diterbitkan oleh QS Quacquarelli Symonds Ltd pada tahun 2009. Untuk maklumat lanjut mengenai MMU, sila layari www.mmu.edu.my.