Pengumuman Kerjasama Antara Kru Studios Dan Prabayar Celcom Blue Sebagai Penaja Utama

By 22/06/2010October 1st, 2015Bahasa Melayu

23 Jun 2010 – KRU Studios mengumumkan kerjasama dengan produk prabayar telekomunikasi gergasi Celcom Axiata Berhad, prabayar celcom blue sebagai penaja utama  bagi filem ke-5 terbitan KRU Studios iaitu “Magika”.

Kerjasama antara KRU Studios dan Celcom terjalin selaras dengan pakatan perniagaan yang lebih strategik bukan sahaja untuk promosi filem yang dinanti-nantikan tahun ini tetapi juga pelbagai tawaran menarik bagi pelanggan prabayar celcom blue. KRU Studios berasa amat bangga kerana filem “Magika” menjadi pilihan Celcom yang merupakan filem kedua terbitan KRU Studios di bawah tajaan mereka selepas Cicakman 2 Planet Hitam dan My Spy.

Menurut Norman Abdul Halim, Presiden KRU Studios merangkap Penerbit Eksekutif filem Magika “Sokongan dari sektor korporat seperti Celcom bagi menaja filem-filem tempatan haruslah dipuji serta digalakkan lagi agar dapat memertabatkan industri perfileman tempatan. Pihak KRU Studios amat berharap pihak Kerajaan akan memberikan lebih banyak insentif cukai serta galakan lain bagi memperbanyakkan lagi penyertaan sektor swasta menaja filem-filem tempatan”.

Zalman Aefendy Zainal Abidin, Naib Presiden Kanan, Pemasaran Celcom Axiata Berhad berkata, “Dengan penglibatan prabayar celcom blue kali ini, kami berasa amat gembira kerana diberi peluang untuk bekerjasama sekali lagi dengan KRU Studios. Kami sentiasa memberi sokongan padu kepada perkembangan industri hiburan tanahair, dan terus berusaha untuk memenuhi kehendak para pelanggan melalui penajaan hiburan tempatan. Kami percaya filem “Magika” akan memberikan satu peluang baik untuk usaha tersebut.”

Sebagai penaja utama, prabayar celcom blue menawarkan promosi eksklusif untuk pelanggannya. Para pelanggan boleh menikmati 2 tiket wayang dan 1 muat turun “Magika” percuma dengan hanya menaip MAGIKA, hantar ke 28881 dan tambah nilai minimum RM20. Disamping itu, prabayar celcom blue juga menghadiahkan 100 SMS percuma untuk pelanggan dengan hanya menonton filem “Magika” di panggung wayang.

Selain itu, prabayar celcom blue juga menawarkan pelbagai kandungan muat turun eksklusif, seperti Nada Dering Sebenar, Lagu Penuh, Nada Dering Pemanggil lagu-lagu soundtrack “Magika”, dan gambar berwarna dari watak-watak artis yang diambil dari filem tersebut. Pengguna cuma perlu dail *119# atau layari http://wap.celcom.com.my/magika untuk maklumat lanjut.

“Magika” filem terbitan KRU Studios yang berkonsepkan muzikal di bawah arahan Edry Abdul Halim. Karya sulung Edry ini menampilkan barisan-barisan pelakon dan artis terkemuka tanahair seperti Mawi, Diana Danielle, Fimie Don, Ziana Zain, Ning Baizura, Maya Karin, M.Nasir, Aznil Hj Nawawi, Raja Azura, KRU, Dato’ Jalaluddin Hassan, Fauziah Ahmad Daud, Sharifah Amani, Sharifah Aleya, Adibah Noor, Saiful Apek, Senario, Vanidah Imran, Nabil, Norman Hakim, Zaibo, Marsha dan ramai lagi.

“Magika” menceritakan tentang Ayu dan Malik, dua beradik yang berada dalam kesedihan selepas kematian ibu mereka. Malik berasa lebih tertekan kerana memikirkan dialah punca utama kematian ibunya. Di suatu senja selepas bertengkar dengan kakaknya, Malik berjalan-jalan di hutan sehinggalah tersesat ke dalam sebuah alam ghaib bernama Magika.

Namun, nasib tidak menyebelahinya. Malik ditangkap oleh Nenek Kebayan dan pengikutnya Awang Kenit untuk dijadikan bahan ubat jamu muda yang dihasilkan melalui air mata kanak-kanak manusia. Ayu yang terdengar jeritan adiknya cuba menyelamatkan Malik tetapi turut juga terperangkap didalam “Magika”.

Penjelajahan Ayu mencari Malik di “Magika” membuatkan Ayu menempuh pelbagai rintangan. Di situ Ayu dan Malik akan bertemu pelbagai watak mitos kepercayaan orang Melayu diantaranya termasuklah Badang, Naga Tasik Chini, Nenek Kebayan, Puteri Bunian, Pak Pandir, Mahsuri, Hang Tuah dan Panglima-Panglima Melaka, Puteri Gunung Ledang, Bawang Putih, Bawang Merah dan ramai lagi. Yang peliknya watak-watak ini juga bernyanyi sambil berbicara sesama mereka.

Dapatkah Ayu selamatkan Malik serta keluar dari “Magika”? Apa akan terjadi kepada Badang, Nenek Kebayan dan watak-watak lain di “Magika”? Bagaimana Malik dapat mengatasi dilema tentang kematian ibunya?

Secara keseluruhannya, “Magika” mempunyai nilai dan mesej tersendiri yang boleh dijadikan sebagai tauladan. Antaranya nilai kekeluargaan dalam menangani masalah, kepercayaan orang melayu lama dengan pelbagai pantang larang, elemen-elemen fantasi dongeng dan pepatah melayu lama seperti jangan bermain di waktu senja dan banyak lagi.

Penggambaran filem ini mengambil masa selama 30 hari dan dijalankan di beberapa buah lokasi seperti FRIM, UPM, Putrajaya, Ulu Yam dan sebuah studio di Batu Caves.

“Magika” bukan sekadar menampilkan barisan pelakon yang hebat, malah muzik yang di lampirkan bersama sebagai penyampaian dialognya juga bukan sesuatu yang boleh di pertikaikan kehebatannya. Lagu-lagu yang dimuatkan dalam filem ini seperti “Penyembuh Rindu”, “Senyummu Lagi” dan “Kehilangan” nyanyian Mawi dan Diana Daniele, “Gebang” (Maya Karin), “Baik Kau Pulang Segera” (Aznil Hj Nawawi, Diana Daniele, Raja Azura), “Asal Menjadi Cantik” (Ning Baizura), “Rahsia Awet Muda” (Ziana Zain),  “Siapa Lebih Berkuasa” (Mawi, Ziana, Fimie Don, Diana Daniele), “Kita Bersaudara” (KRU), “Tidur Dulu” (Dato’ Jalaluddin, Ogy Ahmad Daud, Diana Danile, Fimie Don), “Mana Nak Lari” (Sharifah Aleya & Amani, Adibah Noor, Ziana Zain), “Naga Tasik Chini” (M.Nasir, Mawi, Diana Daniele, Fimie Don), “Magika” &”Selamat Tinggal” (nyanyian ramai).

Lagu-lagu ini dimuatkan dalam cakera padat “Magika Original Soundtrack” dengan berharga RM19.90 dan juga boleh di beli secara online melalui laman web www.krustudios.com. Lagu ini turut boleh dijadikan sebagai nada pemanggil di telefon bimbit anda khususnya pengguna prabayar celcom blue.

Sebagai langkah mempromosikan filem “Magika”, KRU Studios dan prabayar celcom blue bersepakat dalam menyediakan pelbagai aktiviti promosi bergerak ke seluruh Malaysia. Antaranya seperti 10 Lokasi Jelajah  bersama seperti:
Selayang Mall, Selangor (12 Jun 2010)
Berjaya Time Square, Kuala Lumpur (19 Jun 2010)
Jusco AU Keramat, Kuala Lumpur (27 Jun 2010)
Tayangan Amal Diraja Perlis (3 & 4 Julai 2010)
Jusco Bukit Raja, Klang (10 Julai 2010)
Terminal One, Seremban (11 Julai 2010)
Mahkota Parade, Melaka (17 Julai 2010)
Kompleks Bukit Jambul, Penang (24 Julai 2010)
Taiping Sentral Mall, Perak (31 Julai 2010)

Saksikan “Magika” filem yang bakal menjadi fenomena industri perfileman tempatan sekaligus menjadi filem muzikal pertama terbitan produksi tempatan yang akan berada di pawagam pada 2010.