myMetro: Pernah pinjam modal RM2,000

By 05/06/2012Bahasa Melayu

SIAPA sangka selepas 20 tahun, impian trio bersaudara KRU untuk memiliki sebuah akademi sendiri akhirnya menjadi kenyataan dengan perasmian oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di K-Workers Development Center, Cyberjaya, Isnin lalu.

Ternyata dengan kesungguhan yang ada pada Norman, Yusry dan Edry, tidak mustahil impian yang disimpan sejak dua tahun lalu, akhirnya menjadi kenyataan. Paling penting mereka berjaya menyahut cabaran Malaysia Boleh! yang sering dilaungkan kerajaan.

Bagaimanapun, kejayaan yang diraih mereka bukanlah datang dalam sekelip mata kerana pelbagai onak duri serta kontroversi dilalui oleh mereka sebelum berjaya menempatkan diri pada kedudukan sekarang.

Ada yang memuji dan tidak kurang yang mencemuh dengan melemparkan pelbagai kata-kata yang boleh mematahkan semangat, namun ia tidak sedikit pun menjejaskan keazaman tiga beradik ini untuk membuktikan industri seni negara boleh menghampiri Hollywood.

Paling menarik, daripada beroperasi di sebuah pejabat kecil di Setiawangsa sejak 1996, mereka kini bertapak di KRU Studios yang tersergam megah dibina di atas tapak berkeluasan 15.39 hektar di Cyberjaya sejak 2010.

Apakah sebenarnya matlamat utama penubuhan KRU Academy? Bolehkah ia menjanjikan pekerjaan terhadap pelajar serta sejauh mana dapat membantu menyelesaikan pergantungan industri seni terutamanya seni kreatif terhadap tenaga luar?

Ikuti penjelasan Norman selaku Presiden Eksekutif Kumpulan Syarikat KRU kepada wartawan Harian Metro, RIDZUAN ABDUL RAHMAN (mohamadridzuan@hmetro.com.my) menerusi ruangan ini.
RAP: Boleh ceritakan bagaimana penubuhan KRU?

NORMAN: Kami mula aktif dalam industri media dan hiburan pada 1992 sebagai kumpulan penyanyi, penerbit muzik dan pencipta lagu. Ketika itu kami tiada modal, cuma berbekalkan idea. Kami dapat pinjaman daripada syarikat rakaman EMI sebanyak RM2,000 untuk dijadikan modal. Itu 20 tahun lalu di mana dengan modal itu, satu persatu kami menghasilkan produk kami daripada muzik, program TV sehinggalah ke filem.

Kini sudah 20 tahun KRU berada dalam industri dan masih bergerak aktif menerbitkan muzik dalam bentuk ‘live action’ dan animasi.Tenaga kerja KRU kini mencecah 120 orang di mana semuanya digajikan sepenuh masa. Di samping itu juga kita memberi peluang pekerjaan kepada ribuan tenaga kerja secara bebas untuk penerbitan filem, muzik dan program TV.
RAP: Bagaimana dengan kejayaan setakat ini?

NORMAN: Produk-produk kami popular dan bukan saja dikomersilkan di Malaysia, tetapi juga memenangi pelbagai anugerah di peringkat tempatan dan antarabangsa. Malah produk-produk kami juga dieksport.Sebelum tahun 2009, pasaran eksport terbesar bagi KRU adalah di Singapura, tetapi sejak empat tahun yang lalu, saiz pasaran eksport terbesar kami adalah di Amerika Syarikat.

Produk-produk yang dicipta di Malaysia dihasilkan oleh karyawan tempatan kini turut mendapat tempat di negara Barat seperti UK, Jerman dan Russia malah negara-negara lain seperti Mexico, Australia dan Korea Selatan. Kejayaan terbesar kami ialah filem yang diarahkan oleh Yusry iaitu Hikayat Merong Mahawangsa.Filem ini dibuat dalam dwi-bahasa dan alhamdulillah setakat ini sudah diedarkan di 74 buah negara.

Sekarang kami memang akan mengkhususkan menerbitkan filem yang memang sesuai untuk pasaran global. Dua filem yang diterbitkan ialah Ribbit (animasi) dengan kerjasama MDeC dan Vikingdom yang dibuat sepenuhnya di Malaysia.Mungkin tiada siapa terfikir untuk hasilkan filem sebegini, tetapi dengan kemudahan teknologi, kita boleh.
RAP: Apa yang anda lihat dalam industri seni?

NORMAN: Saiz pasaran global bagi industri media dan hiburan pada 2012 mencecah USD1.4 trilion (RM4.2 trilion) dan dijangka akan mencecah USD1.9 trilion (RM5.7 trilion) pada 2015. Ia menjanjikan banyak peluang perniagaan dan pekerjaan. Industri kreatif juga disasarkan sebagai salah satu penyumbang utama bagi program transformasi ekonomi negara kita dan banyak peluang yang disediakan dan akan disediakan untuk para usahawan, karyawan serta tenaga kerja industri kreatif untuk terus meneroka peluang-peluang baru khususnya untuk pasaran eksport.

KRU sudah membangunkan sebanyak 3.5 ekar tanah untuk studio dan sebanyak 11.5 ekar lagi tanah akan dibangunkan pada 2013 hingga 2015 untuk studio dan bangunan akademi.
RAP: Apa perlunya penubuhan KRU Academy?

NORMAN: Ini ialah institusi pengajian tinggi bertaraf vokasional yang memberikan tumpuan kepada kemahiran berkaitan industri media dan hiburan. Penubuhan ini secara tidak langsung dapat memenuhi keperluan industri yang memerlukan ramai tenaga kreatif di dalamnya.Penubuhan akademi ini turut membabitkan kerjasama Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC), Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dan Universiti Multimedia Malaysia (MMU).

Akademi yang akan beroperasi pada 2 Julai ini akan memperkenalkan tiga program Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) yang memenuhi sepenuhnya keperluan National Occupational Skills Standard oleh JPK, Kementerian Sumber Manusia bagi bidang Kemahiran Kesan Khas Visual, Animasi 3D dan Animasi 2D.

Kami melihat perlunya ada akademi sebegini untuk keperluan industri.Kita perlu utamakan pembangunan sumber manusia terlebih dulu sebelum mengadakan prasarana.Perlu ada kemampuan membangunkan tenaga kerja.Industri media dan hiburan tempatan kini sedang rancak berkembang di peringkat tempatan dan bergerak ke arah penerokaan pasaran global.
RAP: Apakah ia dapat mengatasi masalah industri seni?

NORMAN: Secara simboliknya, pelancaran KRU Academy adalah untuk membantu membangunkan tenaga kerja. Bukan saja untuk KRU tapi juga bagi industri kreatif secara keseluruhan. Angka pekerja kami akan ditambah menjadi 500 orang pada 2015 dan 1,000 orang pada 2020.

Keperluan tenaga kerja yang mahir, berpengalaman dan bertaraf antarabangsa bukan saja agenda KRU tapi ini adalah agenda negara kita.

Inilah perbezaan KRU Academy dengan institusi pengajian yang lain. Kami buat modul pembelajaran yang berbeza.Memberikan pengkhususan kepada pengajian secara vokasional selama enam bulan untuk meningkatkan kemahiran mereka menggunakan aplikasi dan perisian yang digunakan oleh pemain-pemain global secara profesional dunia.
RAP: Berapa yang terpilih untuk kemasukan pertama?

NORMAN: Untuk permulaan kami memilih sebanyak 30 hingga 60 orang pelajar. Sebenarnya selepas kami buat sidang media pertama pada April lalu, kami menerima sebanyak 200 permohonan. Hanya pada pengambilan kedua nanti kami mungkin akan pilih lebih sedikit pelajar. Kami ada empat pengambilan iaitu pada Julai, Oktober, Januari dan April.Buat masa ini kami lebih utamakan pelajar tempatan.

Kami sebenarnya mahu menjaga kualiti dan lebih mengutamakan keselesaan pengajar.Walaupun pengalaman semua pengajar jika dicampurkan berjumlah 107 tahun, mereka tidak boleh terlalu dibebankan.Kami ada lapan pengajar sepenuh masa dan mendapatkan pengajar secara ‘freelance’ dari Universiti Multimedia.

Kami perlu meningkatkan lagi keperluan tenaga pengajar dan bilik pembelajaran kerana hanya ada tiga makmal di sini. Kami akan mengintai tapak di sekitar sini untuk dijadikan pusat pembelajaran dan tempat penginapan. Sudah tentunya kami akan memastikan Kru Academy berkembang mahu seperti diharapkan.
RAP: Daripada mana modul pembelajaran diambil?

NORMAN: Kami ambil modul National Occupation Skill Standard (NOSS) yang disediakan oleh MDeC tapi dibuat penambahbaikan terutama dalam aspek CGI kerana mahukan pelajar yang keluar mahir dalam bidang yang diperlukan. Untuk itu panel penasihat kami akan berikan gambaran apa yang berlaku mengenai industri di dalam dan luar negara.

Panel penasihat kami ialah Presiden dan Pengarah Urusan Asia Pasifik, Motion Pictures Association, Michael C Ellis; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Toon Boom Animation, Joan Vogelesang; Presiden Persatuan Penerbit Filem Malaysia, Datin Paduka Shuhaimi Baba; Ketua Pegawai Operasi, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Ahmad Izham Omar; Naib Presiden Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh dan Pengurus Kanan, Rhythm & Hues Malaysia, Hasnul Hadi.
RAP: Bagaimana pula dengan yuran yang dikenakan?

NORMAN: Kami mengenakan yuran sebanyak RM8,000 dan berbincang dengan MARA dan MDeC untuk menyediakan biasiswa kepada mereka yang layak. Pada saya nilai ini sangat berpatutan dengan apa yang ditawarkan. Kami cuba ubah sistem pendidikan kita dengan menampilkan bahawa bidang kemahiran sangat bagus sekarang.