myMetro: Impian KRU tercapai

By 05/06/2012Bahasa Melayu

CYBERJAYA: Selepas 20 tahun beroperasi, impian trio kreatif KRU untuk melihat akademi berfungsi sebagai institusi pengajian tinggi bertaraf vokasional yang memberikan tumpuan kepada kemahiran industri media dan hiburan akhirnya menjadi kenyataan dengan perasmian KRU Academy, semalam.

Majlis perasmian dilakukan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di K-Workers Development Center.

Turut hadir isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali yang juga, Canselor Universiti Multimedia.

Penubuhan Akademi yang turut membabitkan kerjasama Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC), Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dan Universiti Multimedia Malaysia (MMU) ini secara tidak langsung dapat memenuhi keperluan industri yang memerlukan ramai tenaga kreatif. Akademi yang memulakan operasi pada 2 Julai ini memperkenalkan tiga program Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) yang memenuhi sepenuhnya keperluan National Occupational Skills Standard oleh JPK, Kementerian Sumber Manusia bagi bidang Kemahiran Kesan Khas Visual, Animasi 3D dan Animasi 2D.

Sebelum ini, Kumpulan Syarikat KRU sudah mempelbagaikan produk mereka dalam pelbagai bidang antaranya muzik, filem dan animasi.Malah produk mereka seperti filem epic Hikayat Merong Mahawangsa dan Vikingdom yang berkonsep filem stereoscopic 3D sudah berjaya menembusi pasaran antarabangsa.

Presiden Eksekutifnya, Norman Abdul Halim, berkata, tujuan mereka menubuhkan akademi ini adalah untuk mengisi keperluan industri. Pihaknya mengutamakan pembangunan sumber manusia terlebih dahulu sebelum mengadakan prasarana.