Metro: 29 Februari Serlah Fantasi 3D

By 08/05/2012Bahasa Melayu

KEJAYAAN meraih gelaran Pengarah Harapan dan menang kategori Filem Terbaik pada Festival Filem Malaysia Ke-23 (FFM23) menerusi Magika serta mengulangi kejayaan merangkul trofi Filem Terbaik pada FFM24 menerusi Hikayat Merong Mahawangsa sudah cukup melegakan Edry Abdul Halim.

Kini, bagi meneruskan tradisi sebagai peneraju penerbitan filem dengan penggunaan kesan khas, Edry dan KRU Studios tampil dengan kelainan apabila menghasilkan filem Stereoscopic 3D pertama Malaysia berjudul 29 Februari.

Bergenre biografi fantasi, 29 Februari dihasilkan melalui kajian teknikal dalam bentuk yang canggih itu sejak Januari 2011.

Edry berkata, penghasilan filem ini sebenarnya masih asing di negara kita dan di Asia tetapi ‘trend’ ini sudah berkembang pesat di Hollywood seperti yang diperlihatkan menerusi filem Avatar dan penghasilan semula filem blockbuster Titanic.

Katanya, sudah semestinya penonton perlu menggunakan kacamata khas untuk menonton filem sebegitu di pawagam.

“Pengalaman menonton filem sebegini akan memberikan gaya tontonan baru buat penonton tempatan kerana setiap objek dirasakan lebih hidup dan seolah-olah berada di depan mata. Sudah tiba masanya kita mengorak langkah ke depan untuk menghasilkan filem berbentuk 3D di pasaran tempatan. Sebenarnya, idea untuk buat filem 3D tercetus ketika kami pasarkan Hikayat Merong Mahawangsa (HMM) ke pasaran luar negara.

“Ramai yang tertarik dengan filem ini dan bertanya kenapa tidak dihasilkan dalam bentuk 3D.Dari sini kami sedar kita perlu bertukar ke arah teknologi terkini.Ini projek pertama kami dan untuk masuk pasaran global, filem 3D satu keperluan.Kita kena belajar menghasilkannya bermula dari sekarang.

“Saya harap akan ramai lagi produser buat filem dalam bentuk ini.Kita kena ada perubahan mengenai teknologi semasa dan perlu peka dengan perkembangan filem antarabangsa.Contoh terdekat, Yusry sekarang sedang hasilkan Vikingdom dalam bentuk 3D kerana sudah ada permintaan daripada banyak pihak di negara luar,” katanya.

Menerusi kos RM3.5 juta yang diperuntukkan termasuk promosi, 29 Februari bakal membuka lembaran baru industri perfileman negara di era digital. Edry akui berpuas hati dengan filem ini dan menyifatkan ia sebuah filem yang berjaya.

“Saya tergerak hati menghasilkannya ekoran kejayaan Avatar.Lagipun kalau lihat di bandar, ramai penonton suka menonton filem 3D di pawagam. Kalau kita tak buat filem begini, peminat akan membezakannya dengan filem luar.

29 Februari adalah filem berskala besar yang tentunya sesuai dihasilkan dalam bentuk begini.

“Sudah tentu penghasilan filem 3D memerlukan tambahan kos. Penggambaran menggunakan dua kamera yang diletakkan sebelah menyebelah.Kos kamera dan pascapenerbitan meningkat dua kali ganda. Dua kali kerja bermakna dua kali kos dikeluarkan. Kerumitan juga terpaksa dilalui sebanyak dua kali.

“Biarpun begitu, perkara ini tak jadi masalah buat kru dan pelakon kerana semuanya sangat teruja untuk terbabit dalam 29 Februari.Untuk memahirkan kru, saya dapatkan nasihat pakar 3D selain menggunakan tenaga kerja sedia ada. Kerjanya rumit, tapi saya harap penerbit lain tak menjadikannya sebagai alasan untuk hasilkan filem konsep ini.

“Tiada salahnya kalau mereka masih nak hasilkan filem biasa tapi mereka kena sedar teknologi akan sentiasa berubah.Zaman sekarang orang sudah tahu Internet dan dengar lagu menerusi MP3 dan tak mainkan kaset lagi. Walaupun sukar, ia bukan alasan untuk kita berada di takuk lama. Kebanyakan pawagam sekarang sudah menayangkan filem 3D.

“Bagaimanapun, kami tetap hasilkan 29 Februari dalam bentuk 2D untuk pawagam yang belum ada teknologi 3D, Astro First, TV dan DVD.Kami hasilkan dalam bentuk dua format tapi keutamaan tetap diberikan kepada 3D.Harga yang perlu dibayar untuk menonton di pawagam memang berbeza dari biasa tapi pengalaman dan kepuasannya memang lain,” jelasnya.

Kata Edry, kelainan 29 Februari 3D bukan saja dari aspek teknikal tetapi juga dari aspek penceritaan yang menggambarkan bagaimana Budi (Remy Ishak) hanya dimakan usia dalam tempoh empat tahun sekali.

Ini membolehkan dia melalui kehidupan berlatar belakangkan detik bersejarah negara ketika penjajahan British, penaklukan Jepun, Hari Kemerdekaan sehinggalah 2012 iaitu pada usia sebenar lebih 100 tahun tetapi masih kelihatan berusia 20-an.

Edry berkata, memang KRU Studios sukakan kelainan.

“Ketika orang buat filem mengenai rempit dan hantu, kami lebih tertarik hasilkan filem Cicak-Man, Magika dan Hikayat Merong Mahawangsa. Inilah antara formula kejayaan kami kerana KRU Studios tak suka terikut cara orang. Filem kami tetap berjaya diterima peminat. Bagaimanapun, saya akui susah sebenarnya nak mengagak selera penonton.

“Watak fiksyen adalah sesuatu yang baru dalam filem tempatan.Begitu juga ketika kami buat Magika yang berbentuk muzikal kerana dulu agak asing.Namun ia berjaya buka mata banyak pihak,” katanya yang mendapat kerjasama Finas.