Majlis Tayangan Perdana ‘Cinta Kura-Kura’

By 14/02/2012October 1st, 2015Bahasa Melayu

Mutiara Damansara, 14 Februari 2012 – Dari penerbit filem terbaik 2010 (Magika) dan 2011 (Hikayat Merong Mahawangsa), KRU Studios sekali lagi meneruskan tradisi untuk memberikan kelainan kepada peminat industri perfileman tempatan didalam filem terbarunya yang berjudul “Cinta Kura-Kura”. “Cinta Kura-Kura” merupakan filem romantik komedi yang menampilkan watak animasi 3D seperti “Smurfs” dan “Garfield” bergabung dengan pelakon-pelakon popular tanahair. Kali ini, KRU Studios memberikan kepercayaan sepenuhnya kepada pengarah generasi baru iaitu Nizam Zakaria untuk mengarah filem ke-10 terbitan KRU Studios.

Menurut Norman Abdul Halim selaku Eksekutif Presiden KRU Studios merangkap Penerbit Eksekutif filem Cinta Kura-Kura “Kami menerima pelbagai respon positif untuk filem ini melalui laman-laman sosial dan sekaligus menjadikan filem ini sebagai salah satu filem yang dinanti-nantikan penggemar filem tempatan. Dengan jalan cerita yang kemas, CGI yang realistik, lakonan yang mantap oleh Tiz Zaqyah, Airel Zafrel serta Fizz Fairuz, dan lawak bersahaja oleh Zizan, Usop Wilcha serta Fara Fauzana sebagai suara kura-kura didalam filem ini menjadikan filem Cinta Kura-Kura sebagai filem “Wajib Tonton” bagi seisi keluarga pada tahun ini.”

“Cinta Kura-Kura” mengisahkan tentang seorang gadis ceria berusia 21 tahun bernama Nani lakonan Tiz Zaqyah bersama binatang peliharaannya, Nico (Zizan Raja Lawak). Nico adalah seekor kura-kura spesis terancam dan ia mempunyai kelebihan luarbiasa iaitu boleh bercakap dengan manusia, tapi sekiranya dia mahu melakukannya. Kisah romantik komedi ini bermula disaat Nani berpindah ke rumah abangnya, Amin (Bob AF). Jiran Nani, Adam lakonan Airel Zafrel telah jatuh hati dengan Nani sejak kali pertama dia memandangnya. Walaubagaimanapun Nico mempunyai calon pilihannya sendiri sebagai teman hidup Nani iaitu Fazli (lakonan Fizz Fairuz), seorang pemilik kedai binatang peliharaan yang mempunyai agendanya tersendiri. Kehidupan mereka menjadi huru-hara apabila Nico mula campur tangan dengan kehidupan manusia.

Filem cereka berkonsep fantasi romantik komedi ini buat julung kalinya menampilkan teknologi CGI bagi karakter animasi bagi watak Nico (Zizan), Mira (Fara Fauzana) dan Atuk (Shy8 atau lebih dikenali sebagai Usop Wilcha) disampaikan dalam babak serta dialog lucu sesuai untuk tontonan umum. KRU Studios meneruskan tradisi mempromosikan filem melalui lagu tema seperti “Tiga Kata” nyanyian trio 3 beradik KRU dan yang terbaru “Pencinta Terbaik” nyanyian SOFAZR. Lagu yang dicipta sepenuhnya Edry Abdul Halim turut dimainkan dihampir segenap corong radio tempatan dan mendapat response positif para penggemar muzik tanah air.

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web www.krustudios.com atau Facebook dan You Tube “Cinta Kura-Kura”.