Majlis Sidang Media “Sedetik Lebih”

By 15/12/2010October 1st, 2015Bahasa Melayu

15hb DECEMBER 2010 – “Ku kan terus mencinta sedetik lebih selepas selamanya…” Begitulah gambaran tentang keindahan lagu “Sedetik Lebih” nyanyian penyanyi terkenal tanah air, Anuar Zain. Lagu ini menggambarkan kisah percintaan abadi di dalam filem epik Hikayat Merong Mahawangsa yang merupakan sebuah karya agung arahan Yusry Abd Halim dan “Sedetik Lebih” ialah lagu tema bagi filem tersebut.

“Sedetik Lebih” merupakan ciptaan sepenuhnya oleh Edry Abdul Halim. Sebagai lagu tema kepada sebuah filem epik, komposer harus memikirkan bagaimana untuk menghasilkan sebuah lagu yang setara dengan kehebatan filemnya iaitu Hikayat Merong Mahawangsa. Menurut Edry, pemilihan Anuar Zain adalah berdasarkan kepada karisma dan kredibilitinya sebagai seorang penyanyi tersohor yang telah lama berkecimpung di dalam industri muzik tanah air. Dengan iringan gubahan bahagian string nan indah, kemantapan vokal Anuar Zain melengkapkan kesempurnaan lagu ini dan terbukti mampu membuai para pendengar yang sedang dilamun cinta. Proses penerbitan “Sedetik Lebih” mengambil masa selama satu bulan yang melibatkan beberapa peringkat iaitu gubahan asas, bahagian string dan akhir sekali bahagian vokal (proses rakaman yang hanya mengambil masa selama 2 jam).

“Saya cukup berbangga kerana menjadi salah seorang yang terlibat di dalam pembikinan filem Hikayat Merong Mahawangsa terbitan KRU Studios. Saya sebagai seorang penyanyi berasa cukup bertuah kerana dipilih untuk menyanyikan lagu “Sedetik Lebih”. Tidak mudah bagi saya untuk menyampaikan lagu ini kerana ianya memerlukan penghayatan yang sangat mendalam dan sayu,” ucap Anuar Zain.

“Dalam arena muzik yang kini didominasi oleh genre hip-hop, R&B dan rock, para pendengar muzik tempatan masih menginginkan lagu-lagu balada seperti sebuah lagu cinta yang kekal abadi dari gabungan gubahan & susunan muzik, vokal dan produksi yang baik serta berkualiti. Saya yakin bahawa “Sedetik Lebih” ialah sebuah lagu yang sempurna dan ia mampu menjadi sebuah lagu cinta yang akan kekal di hati para pendengar sampai bila-bila,” ujar Edry Abdul Halim.

Lagu ini dirakamkan dalam dua versi iaitu dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris yang bertajuk “The Memories Remain”. Ini adalah bertujuan untuk mempromosikan filem Hikayat Merong Mahawangsa serta “Sedetik Lebih” ke peringkat antarabangsa.

“Sedetik Lebih” diiringi dengan klip video yang diarah khusus oleh Yusry Abd Halim dan ianya membawa mesej tentang cinta yang mendalam seorang kekasih kepada pasangannya yang kekal selama-lamanya sehingga ke akhir waktu. Dengan penggunaan CGI, kelihatan kesemua objek-objek di dalam klip video ini seperti terhenti berikutan waktu telah terhenti. Penggambaran klip video ini mendapat kerjasama dari Dewan Filharmonik Petronas dan tempoh penggambaran hanya memakan masa selama satu hari sahaja.

“Konsep klip video ini menceritakan tentang cinta seorang lelaki terhadap kekasihnya tetapi saya mengambil kisah itu dari sudut pandang yang sedikit berbeza daripada biasa. Lelaki itu menanti kehadiran pasangannya yang tidak kunjung tiba tetapi itu tidak memudarkan perasaan cinta lelaki tersebut terhadap kekasihnya walaupun sehingga ke akhir waktu. Kerana itu, kita dapat lihat di dalam klip video ini di mana kesemua objek-objek tidak bergerak dan statik bagi menandakan yang waktu itu sudah habis tetapi lelaki tersebut masih ada dan terus menanti & menyayangi,” kata Yusry Abdul Halim.

Setinggi-tinggi penghargaan kepada Dewan Filharmonik Petronas di atas penajaan lokasi penggambaran klip video “Sedetik Lebih”, Hotel Marriot Putrajaya di atas penajaan lokasi penggambaran bersama media cetak dan akhir sekali kepada Redbox kerana menaja lokasi bagi majlis sidang media “Sedetik Lebih”.

SEDETIK LEBIH

Edry Abdul Halim
KRU Publishing Sdn Bhd

[Verse 1:] Setiap nafas yang dihembus
Setiap degupan jantung
Aku selalu memikirkanmu

Dalam sedar dibuai angan
Dalam tidur dan khayalan
Aku selalu memikirkanmu

[Pre-C/O:] Ternyata ku perlukan cinta dari dirimu sayang
Barulah terasa ku bernyawa

[C/O:] Kasihku…ku amat mencintai kamu
Kerana kau beri erti hidup
Ku kan terus mencinta sedetik lebih selepas selamanya

[Verse 2:] Di kala penuh ketakutan dengan badai kehidupan
Ku bersyukur adanya kamu

Biarlah kehilangan semua yang dimiliki di dunia
Asal masih adanya kamu

(Repeat Pre-C/O & C/O)

(Repeat C/O)