Kosmo: Sisi Berbeza Remy

By 09/05/2012Bahasa Melayu

BUDI merupakan seorang lelaki yang sangat unik dan berbeza dari manusia yang pernah ada di muka bumi. Dia lahir pada 29 Februari 1896 dan hanya meningkat usia setiap empat tahun sekali, serta perlu melalui fasa kehidupan dari era penjajahan Malaysia hingga melangkau era moden.

Itu merupakan antara sinopsis filem terbaharu lakonan aktor pujaan Malaya, Remy Ishak dalam filem terbitan KRU Studios yang berjudul 29 Februari. Istimewanya tentang filem yang digarap oleh Edry Abdul Halim ini, ia merupakan filem Melayu dengan format tiga dimensi (3D) yang pertama di Malaysia.

“Budi dianggap terkena sumpahan dan keadaan fizikalnya juga terbantut selain pemikirannya juga sedikit lembab. Saya tertarik dengan watak yang ditawarkan ini kerana saya perlu memegang watak yang melalui era zaman sebelum merdeka hingga era moden. Sejujurnya, ia merupakan satu konsep berbeza dengan apa yang dilakonkan saya sebelum ini.

“Filem ini juga bukan memaparkan patriotik semata-mata, namun ia sebenarnya mengenai hubungan cinta yang dijalinkan antara Budi dan seorang gadis Cina iaitu Lily yang dilakonkan oleh Jojo Goh,” cerita Remy semasa ditemui baru-baru ini, pada majlis pratonton di TGV, Pavilion, Kuala Lumpur.

Akui Remy, berlakon dalam filem tersebut merupakan satu cabaran baharu buat dirinya kerana ia merupakan kali pertama dia bekerja dengan Edry. Baginya, setiap pengarah mempunyai kehendak dan persefahaman yang berlainan.

Tambah lelaki berkulit hitam manis itu lagi, apa yang diminta pengarah filem 29 Februari itu merupakan perkara yang belum pernah diberikan dan ia sememangnya sesuatu yang berbeza.

“Mungkin sebelum ini watak saya lebih kepada lelaki romantik. Tapi, kali ini, romantik pada mata Edry cukup berlainan, ia bukan tipikal romantik dan saya harus melunaskan permintaan tersebut dengan sebaik mungkin. Jadi memang semua babak dalam filem ini berat dan mencabar bagi saya,” ujar Remy.

Sebagai contoh, kata Remy, secara luaran, dia membawa fizikal dirinya yang sekarang, namun harus mempunyai pemikiran seperti budak-budak dan perlu mendalami setiap era yang dipaparkan dengan sebaik mungkin.

“Lebih mencabar buat saya kerana ini adalah filem muzikal.Jadi zaman yang dipaparkan berubah berdasarkan muzik.Orang akan nampak dalam filem ini dan ia memerlukan saya banyak bermain dengan emosi,” jelasnya panjang lebar.

Menyanyi

Filem dan pengalaman pertama bersama KRU Studios, ujar Remy, merupakan satu perjalanan yang berbeza buat dirinya.Remy berpendapat KRU merupakan sebuah produksi yang sentiasa melangkah ke hadapan.

Secara peribadi, dia juga berpendapat segala perkara yang dilakukan syarikat tersebut merupakan satu evolusi selain percubaan memecah tradisi industri perfileman Malaysia melalui penghasilan filem-filem mereka.

“Agenda mereka dalam industri filem negara sangat besar.Filem-filem yang dihasilkan pun bukan kosong.Saya memang hormat dengan usaha-usaha mereka itu,” cerita Remy.

Bercakap mengenai cabaran paling besar yang perlu dihadapi dalam filem ini, secara terbuka dia memberitahu menghadapi kesukaran untuk menyanyi kerana dia bukan penyanyi.

Remy perlu menyanyi sebanyak tiga buah lagu.Jujur dia mengaku, perasaan gementar dan seram sejuk wujud dalam diri.Namun, sebagai pengarah dan juga penyanyi, Edry menasihati Remy agar lebih memberi fokus terhadap lakonan.

“Cabaran terbesar saya juga adalah menyanyi. Jadi saya berharap agar masyarakat yang menonton filem tersebut kelak tidak akan menilai nyanyian saya. Sebaliknya memberi fokus terhadap bakat lakonan saya, kerana saya merupakan seorang pelakon,” ujarnya.

Ditebak pula soalan mengenai gandingannya, Jojo Goh yang merupakan seorang pendatang baharu dalam industri, jawab Remy, gadis berbangsa Cina itu mempunyai bakat besar.

“Saya tidak pernah berlakon atau mengenali dirinya.Namun semasa sesi uji bakat, saya dapat lihat, dia seorang gadis yang berbakat besar. Mengenai keserasian pula, kami bina ia ketika dalam set penggambaran. Setiap kali ada masa terluang, saya akan berbincang dan bercakap dengannya,” jelas Remy memuji bakat yang dimiliki Jojo.

Tidak cukup bagus

Walaupun namanya telah dikenali di seluruh Malaysia, namun bagi Remy sendiri, dia belum mengecapi kepuasan dengan karier dalam bidang lakonan yang dibinanya ini. Katanya, dia masih banyak perlu dipelajari dan ditingkatkan daripada segi lakonan, kehidupan dan aspek-aspek lain.

“Menjadi seorang pelakon merupakan perkara yang sukar. Memilih watak yang dimahukan adalah perkara subjektif, namun saya sentiasa mahu memberi yang terbaik untuk apa jua watak yang saya bawa,”jelasnya yang memberitahu pelakon harus menjadi selektif.

Tambahnya menguatkan hujah: “Itu perlu (selektif) kerana secara tidak langsung ia dapat mengelakkan dari pelakon tersebut hanya melakonkan watak yang hampir serupa setiap kali muncul di layar perak mahupun kaca televisyen.”