Kerjasama Antara KRU Studios & MPO

By 19/05/2010October 1st, 2015Bahasa Melayu

PENGUMUMAN KERJASAMA ANTARA KRU STUDIOS DAN ORKESTRA MALAYSIAN PHILHARMONIC BAGI PENATAAN MUZIK FILEM “HIKAYAT MERONG MAHAWANGSA”

19 Mei 2010 – KRU Studios mengumumkan kerjasama dengan Orkestra Philharmonic Malaysia (MPO) bagi filem ke-8 terbitan KRU Studios berjudul “Hikayat Merong Mahawangsa” atau versi antarabangsanya yang dinamakan sebagai “The Malay Chronicles-Bloodlines”.

Sejajar dengan strategi pemasaran filem ini diperingkat antarabangsa, KRU Studios berpendapat bahawa penghasilan penataan muzik bertaraf dunia dalam penyampaian sesebuah filem harus dititikberatkan. Dengan itu, satu kerjasama antara KRU Studios dan MPO telah terjalin dalam menghasilkan penataan muzik bertaraf dunia bagi filem “Hikayat Merong Mahawangsa” (HMM).

MPO menata muzik filem ini dengan melibatkan khidmat Pengarah Muzik Claus Peter Flor yang diiringi seramai 105 orang pemuzik professional. Muzik asalnya adalah ciptaan komposer-komposer muda KRU Studios iaitu Reza Ramsey dan Yudi Ashadi. Karya muzik itu kemudiannya digubah semula oleh Ahmad Muriz Che Rose dan Vivian Chua untuk pengorkestraan MPO.

Menurut Puan Karina Ridzuan, Ketua Pegawai Eksekutif MPO, “Ini adalah satu penghargaan untuk kerjasama sulung antara MPO dan KRU Studios dan merupakan julung kalinya MPO terlibat dalam penataan muzik untuk sebuah filem tempatan. Kami percaya projek ini akan mengembara jauh dan amat teruja di atas prospek membawa nama Malaysia ke persada dunia. Kini tiba masanya untuk kita bergabung tenaga menyokong industri seni tanahair untuk kebaikan bersama. Ini merupakan saat yang tepat untuk menunjukkan kepada dunia kebolehan anak Malaysia.”

Rakaman penataan muzik telah dijalankan di Dewan Filharmonik Petronas selama 3 hari berturut-turut bermula 23 Mac 2010. Menurut Norman Abdul Halim, Presiden KRU Studios merangkap Penerbit Eksekutif filem HMM, “Kerjasama yang julung-julung kali diadakan diantara MPO dan KRU Studios sememangnya tepat pada masanya kerana filem HMM telah menarik minat begitu banyak pengedar di luar negara dan adalah wajar kerjasama diantara 2 syarikat swasta tempatan bergabung tenaga didalam memertabatkan industri perfileman tempatan ke peringkat global. Kami amat berterima kasih kepada pihak pengurusan MPO diatas kepercayaan mereka dan buat kali pertama menaja penataan muzik filem tempatan sekaligus menjadikan HMM filem tempatan pertama yang mendapat sentuhan emas MPO”.

Pada 22 Febuari yang lalu, filem bergenre aksi/epik ini telah berjaya menarik minat pengedar-pengedar antarabangsa sekaligus mencatat jualan mencecah jutaan ringgit menerusi EFM (European Film Market) di Berlin yang berlangsung pada 11 – 21 Febuari 2010. Setakat ini bagi hak pengedaran luar negara, filem ini telah terjual di United Kingdom, Perancis, Jerman, Rusia dan di 22 buah negara timur tengah. Ini sekaligus menjadikan filem HMM, filem tempatan pertama yang mendapat edaran secara meluas di peringkat antarabangsa dan yang paling berjaya dari sudut perolehan ekspot.

HMM kini sedang dipasarkan di Cannes Film Festival oleh Epic Pictures iaitu agen pemasaran yang berpusat di Los Angeles, Amerika Syarikat. Menurut Yusry Abdul Halim selaku pengarah filem ini, “Kejayaan awal filem ini bukan hanya kejayaan saya seorang; tetapi juga kejayaan para karyawan, pelakon, kru produksi dan kakitangan KRU Studios yang melibatkan lebih 300 orang. Saya juga berharap kejayaan ini akan mencetus lebih banyak lagi kejayaan filem tempatan di peringkat antarabangsa.”

HMM kini didalam proses penjanaan CGI dijangka akan siap sepenuhnya pada Julai 2010. Untuk maklumat lanjut,  sila layari laman web www.krustudios.com atau www.malaychronicles.com