GUA: Saya Bukan Penyanyi – Remy Ishak

By 31/05/2012Bahasa Melayu

“Kalau peminat cakap suara saya tidak sedap, saya tidak kisah.Saya sudah bersedia dengan kritikan itu.Saya bukan seorang penyanyi, tapi saya seorang pelakon. Saya menyanyi kerana ia sebahagian daripada lakonan untuk filem ini. Bukan mudah untuk lakukannya, tetapi dengan dorongan pengarah, Edry Abdul Halim, saya cuba buat sebaik mungkin,” ulas Remy Ishak berhubung percubaannya  menyanyikan tiga buah lagu dalam filem ‘29 Februari’ berjudul Kelip-kelip, Jagalah Diri dan Seperti Dulu.

Bukan itu sahaja, buah hati Tiz Zaqyah ini juga berterus-terang yang dia tidak berani menyanyikan lagu itu secara langsung, Jelas Remy, menyanyi bukan kepakarannya dan sudah pasti dia akan diterpa perasaan gemuruh jika disuruh berbuat demikian.

“Buat masa ini rasanya saya tidak ada kekuatan untuk menyampaikan lagu itu di hadapan penonton, Tapi, tak tahulah kalau selepas seketika nanti saya lebih yakin.Tengok situasinya macamana nanti.Sebenarnya bukan mudah untuk saya menyanyi, tapi saya mahu lakukannya demi watak Budi itu.

Awal-awal lagi saya sudah cakap pada Edry, kalau watak itu perlu menyanyi saya mahu lakukannya sendiri. Saya tidak mahu orang lain yang nyanyi sebab ia akan nampak tidak semulajadi. Sebelum Edry bagi persetujuan, saya jalani ujibakat dahulu.Selepas dia dengar saya menyanyi, dia kata O.K. Jadi, terpulangkan kepada penonton untuk buat penilaian nanti,” tambah Remy lagi.

Dalam masa yang sama, Remy juga mengakui pada hari pertama rakaman lagu ‘Kelip-kelip’ dia tidak mampu melakukannya kerana terlalu cemas.

“Hari pertama berada di studio, rakaman tidak boleh dilakukan kerana saya terlalu gemuruh.Suara saya tidak sampai.Selang empat hari selepas itu, barulah saya berkeyakinan dan rakaman boleh dilakukan.Bahkan, hanya ambil masa empat jam sahaja kerana ketika rakaman kali kedua itu, saya sudah tahu macamana hendak ambil mood,” ulas Remy teruja.

‘29 Februari’  mempertaruhkan tiga lagu sebagai single komersial ‘29 Februari’. Walaupun Remy menyanyikan ketiga-tiga lagu ini di dalam filem, tetapi untuk album runut bunyi,  pihak produksi memberi tanggunggjawab kepada Jaclyn Victor dan Forteen untuk menyampaikan lagu Jagalah Diri dan Seperti Dulu.  Remy hanya menyanyikan lagu Kelip-kelip.Ketiga-tiga lagu ini adalah ciptaan sepenuh Edry Abdul Halim dan albumnya dijangka berada di pasaran sebelum Ramadhan.

Filem bergenre ‘biografi fantasi’ yang mengisahkan kehidupan lelaki bernama Budi (Remy Ishak) yang hanya dimakan usia empat tahun sekali kerana dilahirkan pada tahun lompat.

Budi menghabiskan seumur hidupnya menunggu Lily, cinta sejatinya.Budi bertemu dengan Lily pada 1957 dan jatuh cinta pada pertemuan pertama.Lily melarikan diri apabila dipaksa berkahwin dengan Alex, kenalan keluarganya.Budi menghabiskan masa selama 40 tahun mencari Lily. Filem ini memaparkan transformasi Malaysia dari tahun 1896, penjajahan Jepun, pemerintahan British, kemerdekaan sehingga  ke era Malaysia moden.

Selain Remy, ia turut dibintangi oleh Jojo Goh, Izzue Islam, Fizz Fairuz, Ramli Hassan, Nam Ron dan Chew Kin Wah.  29 Februari bakal ditayangkan pada 30 Ogos hadapan.