GUA: KRU Tak Mahu Kecewakan Peminat

By 05/06/2012Bahasa Melayu

Jika anda masih ingat, pada Jun tahun lalu, Norman Abdul Halim pernah mengeluarkan kenyataan bahawa KRU telah bersara daripada membuat persembahan.Jelas abang sulung kumpulan adik-beradik KRU ini keputusan itu dibuat kerana mahu memberi laluan kepada artis-artis baru selain terpaksa memberi tumpuan kepada bidang perniagaan.

Namun sempena sambutan Ulangtahun KRU yang ke -20 tahun ini, trio bersaudara ini bakal mengadakan satu persembahan istimewa untuk peminat-peminat mereka. Jelas Norman, pengecualian terpaksa dibuat demi menjaga hati peminat.

“Memang KRU pernah umumkan yang kami sudah bersara untuk sebarang persembahan.Tetapi untuk sambutan ulangtahun ini kami terpaksa beri pengecualian.Daripada maklum balas yang diterima, ramai peminat yang mahukan kami buat persembahan.Jadi, kalau kami tidak buat, pasti menghampakan mereka.Sebagai tanda penghargaan buat peminat, KRU akan menyampaikan lagu-lagu popular kami suatu ketika dahulu seperti Awas, Mengerti, Di Dalam Dilema dan Fanatik,” ujar Norman yang ditemui di majlis perasmian Akademi KRU di Putrajaya pada Isnin.

Bercerita tentang persiapan KRU menjelang konsert pada 10 Jun ini, Norman memberitahu setakat ini dia, Edry dan Yusry masih belum sempat berlatih kerana sibuk dengan tugas masing-masing. Namun, mengakui mereka teruja dengan persembahan itu kerana sudah lama tidak membuat persembahan bersama.  Dalam masa yang sama, Norman juga tidak menafikan yang dia berasa agak kekok.

“Sudah pasti saya rasa ‘lain’ untuk buat persembahan ini. Dengan umur sekarang ini, tak tahulah saya boleh menari macam dulu atau tidak.Apa yang pasti, saya akan serahkan tugas menari pada penari-penari terlibat. Saya harap pihak media faham dengan situasi dan tidak menghentam kami selepas itu. Sebab kekok juga, pihak kami tidak menjemput walau seorang pun VIP. Cukuplah sekadar dihadiri oleh peminat dan pihak media,” ujar Norman lantas tertawa.

Selain KRU, ‘Konsert Ulang Tahun KRU ke-20’ pada 10 Jun ini akan turut dimeriahkan dengan
persembahan artis-artis naungannya seperti VIP, Forteen, Tomok, X-Factor, Jaclyn Victor dan ramai lagi. Malah, kumpulan Elite juga dijangka membuat kemunculan istimewa.Kepada yang masih belum tahu, konsert ini bakal diadakan Neverland@Orange, Kuala Lumpur.

Tiada jualan tiket untuk acara ini, sebaliknya peminat harus membelanjakan RM50 ke atas barangan cenderahati KRU untuk mendapatkan satu pas masuk.Selain itu, anda juga boleh menyertai peraduan yang diadakan oleh GUA. Maklumat lanjut acara ini boleh didapati di http://www.facebook.com/krustudios