GUA : Fara Jadi Kura-Kura ‘Kelate’

By 15/02/2012October 1st, 2015Bahasa Melayu

Terlanjur GUA menghadiri malam gala pratonton filem terbitan KRU Studios, Cinta Kura-Kura malam Selasa lalu, GUA berkesempatan menemubual personaliti TV dan Radio yang tidak asing lagi iaitu Fara Fauzana.

Ketika ditanyakan berkenaan pengalaman gadis yang mesra dipanggil Fafau ini, beliau menceritakan keseronokannya membawa watak Mira, seekor kura-kura betina.

“Saya memang ‘enjoy’ berkerja untuk produksi ini. Satu pengalaman yang memang menarik. Asalnya saya harus membawakan dialek Negeri Sembilan dalam interpretasi watak Mira namun dek kerana nak sesuaikan dengan karakter Mira yang comel dan manja, maka loghat Kelantan Siam dipilih”, jelas Fafau yang tidak jemu melayan karenah peminat yang mahu bergambar dengannya.

“Perkara yang paling mencabar untuk saya ialah untuk benar-benar menghayati watak Mira. Semua watak saya tidak memerlukan saya berada di lokasi pengambaran sebaliknya berada di studio bagi melakukan ‘voice over’. Ada kalanya saya gunakan cengkerang kura-kura yang ada untuk bantu saya lebih mendalami watak Mira. Alhamdulillah, dengan bantuan pihak produksi kami berjaya melakukannya”, ujar Fafau yang mengakui betapa sukarnya untuk menghasilkan sesuatu imej CGI yang teliti.

GUA sempat bertanyakan perkembangan terkini graduan Ijazah Sarjana Muda Perhubungan Awam UiTM itu. Fara menjelaskan selain dari sibuk mengacarakan Nona dan bergelar penyampai radio di Hot.FM, beliau juga akan muncul dengan filem Ommi VS Ponti. GUA difahamkan juga anak jati Shah Alam ini akan terlibat dalam satu produksi drama muzikal.

Selain dari sibuk dengan kareer seni beliau, Fara juga dikhabarkan bakal terlibat dalam satu segmen yang akan disiarkan dalam laman rasmi GUA. Segmen yang melibatkan interaksi Fara dan peminat ini bakal menampilkan kelainan. Kalau nak tahu kelainan yang bagaimana, kenalah tunggu sampai ia diumumkan!