Bintang masih bersinar

By 16/05/2012Bahasa Melayu

Figura Jaclyn Victor diakui antara bintang yang bersinar menghiasi industri hiburan tanah air.

Bakat dan kebolehannya dalam bidang nyanyian ternyata berjaya memberi suntikan baru dalam industri setanding dengan kualiti penyanyi antarabangsa.

Jika dilihat perjalanan seninya semenjak bergelar juara Malaysian Idol musim pertama, nama penyanyi yang senang di panggil Jac ini tidak pernah sunyi dari industri malah sering mendapat perhatian daripada pelbagai pihak.

Namun begitu, penyanyi yang terkenal dengan single pertamanya, ‘Gemilang’ tidak mahu terus berada di kepompong yang sama telah memilih untuk bernaung awal tahun ini di bawah KRU Music bagi mencari kelainan dalam kariernya.

“Setakat ini kerjasama daripada pihak KRU Music amat memuaskan kerana perkembangan yang mereka tunjukkan untuk mempromosikan single pertama ‘Sebelah Jiwaku’ ciptaan Edry Abdul Halim berlaku agak pantas.

“Saya juga bersyukur kerana hasil kerja mereka berjaya memberi kesan positif kepada single yang kini sudah diterima baik oleh pendengar sehingga berjaya menduduki beberapa carta lagu,”katanya.

Mengakui single pertama ‘Sebelah Jiwaku’ antara kelainan yang dibawa bersama syarikat rakaman baru, Jac amat berpuas hati dengan penerimaan pendengar terhadap single itu.

“Sejak awal pembikinan lagu ini dilakukan, saya menyukainya dan ia agak berbeza dengan genre lagu yang pernah saya bawa sebelum ini malah liriknya sangat membina membuatkan saya begitu tertarik,” katanya.

“Saya lega peminat dapat menerima pembaharuan ini dan sentiasa memberi sokongan yang tidak putus untuk saya meneruskan karier ini,”ujarnya.

Debaran Mania

Walaupun kariernya dalam bidang nyanyian sudah berada di kelas yang tersendiri, namun penyanyi yang memiliki vokal mantap ini masih mahu menguji kemampuan bakatnya dengan menyertai program realiti, Mania yang disertai barisan penyanyi hebat yang lain seperti Hafiz, Shila Amzah, Adira dan ramai lagi.

Jac yang berada di bawah empayar biru dikendalikan oleh komposer terkenal, Aubrey Suwito berjaya meneruskan perjuangannya hingga ke peringkat akhir.

“Saya akui minggu ini merupakan minggu yang memberi tekanan kepada saya kerana kedudukan undian berada di tahap rendah.Oleh itu, saya perlu melakukan yang terbaik untuk berjaya dalam pertandingan ini,’ katanya.

Selain perkembangannya dalam persiapan untuk beraksi pada pentas akhir Mania, Jac mengatakan dirinya kini baru sahaja selesai dengan penggambaran video klip untuk single kedua yang merupakan lagu tema untuk filem baru, 29 Februari, arahan Edry Abdul Halim.

Fokus nyanyian

Selain berbakat dalam nyanyian, Jac pernah menyertai bidang lakonan pada tahun 2009, dengan memegang watak penting sebagai Bhavani dalam filem ‘Talentime’.

Ternyata lakonan dalam filem itu membuahkan hasil apabila diberi pengiktirafan pada Festival Filem Malaysia ke-22 sebagai Pelakon Harapan Wanita menerusi filem ‘Talentime’.

Mengenai perkembangan lakonannya, Jac mengakui dirinya amat menyayangi bidang nyanyian berbanding lakonan.

“Buat masa ini, jadual untuk bidang nyanyian terlalu padat dan saya mahu lakukan yang terbaik untuk karier ini kerana ia adalah jiwa saya,” katanya.