Berita Harian: KRU Music aktif asah bakat baru

By 12/04/2012October 1st, 2015Bahasa Melayu

SYARIKAT produksi Kumpulan KRU tidak mahu mengetepikan pembabitan dalam bisnes muzik apabila mereka mewujudkan satu bahagian khusus, KRU Music.

Ia dilihat bagi mengimbangi ‘personaliti’ KRU itu sendiri yang sejak kebelakangan ini lebih menonjol dalam sektor penerbitan filem.

Menurut Timbalan Presiden Media dan Muzik, KC Ismail, sejak KRU Music ditubuhkan banyak projek lama dan baru yang diusahakan, bukan saja menerbitkan dan memasarkan penyanyi yang sudah ada nama seperti Datuk Sharifah Aini, Jaclyn Victor, kumpulan Forteen dan VIP, tapi turut mencari bakat baru untuk diketengahkan.

Katanya, KRU Music mahu menjadi adalah syarikat yang sentiasa aktif menghasilkan muzik dan memasarkan penyanyi secara konsisten. Mereka lebih aktif mencari bakat untuk dipasarkan.

“Sebelum ini kami ada membuat majlis pengumuman untuk Jaclyn Victor, manakala bagi Datuk Sharifah Aini atau Kak Pah kami akan adakan acara rasmi dalam masa terdekat.

“KRU Music turut mencungkil bakat baru, yang mana dengan diberi peluang sebagai juri untuk pertandingan nyanyian anjuran Berita Harian, iaitu Bintang Idola Berita Harian (BIBH), saya dapat melihat ramai bakat yang boleh diasah untuk dijadikan penyanyi.

“Sebelum ini juga, pemenang BIBH yang lalu iaitu Baby Shima dan Azhar sudah pun kami ambil sebagai artis naungan KRU Music, serta pemenang BIBH yang terbaru, Kamilia Razwanis pun secara automatik bernaung di bawah syarikat kami.

“Selain mereka bertiga, melihat kepada keupayaan dan bakat yang ditonjolkan oleh naib juara BIBH2012 baru-baru ini, iaitu Syazira Hassim, kami juga akan mempertimbangkan untuk mengambil dia. Kami akan memberi peluang untuk Syazira dan dia akan menjalani uji bakat bersama Edry Abdul Halim tidak lama lagi.

“Syazira pun masih muda, dan dia mempunyai banyak masa lagi untuk diasah bakatnya,” katanya.

KC berkata, di KRU Music mereka tidak mahu melakukan semuanya serentak dan dalam keadaan kelam kabut dan kaedah ini adalah untuk mengelakkan daripada menghasilkan penyanyi seperti ‘mi segera’.

“Mencuba sesuatu yang berbeza, tahun ini juga kami ada mengedarkan produk dari Indonesia, di mana kami memasarkan album untuk penyanyi dari sana seperti Angie dan Raisa untuk pasaran di sini. Kami hanya bertindak sebagai pengedar untuk album mereka dan kami sedang mencari lagi artis yang berbakat untuk dipasarkan,” katanya yang akan keluar dengan pelbagai produk lagi di sepanjang tahun ini.

Sementara itu, sempena kemunculan filem 29 Februari, iaitu filem muzikal tiga demensi (3D) pertama terbitan KRU Studios nanti, tiga lagu runut bunyi akan dikeluarkan serentak yang dinyanyikan oleh Jaclyn Victor, Sharifah Aini dan Remy Ishak.

KRU Music juga sedang giat untuk memperkenalkan projek khas mereka iaitu kumpulan Mojo yang dianggotai oleh Edry sendiri selain Aweera itu bekas peserta One In A Million musim ketiga.

Kumpulan Mojo juga turut dianggotai pemain dram kumpulan Tilu, Johar dan seorang lagi pekerja KRU Studios, Denny. Single pertama berjudul Andaiku Bercinta Lagi sudah mula disiarkan di radio dan bakal keluar dengan empat lagu lagi yang sudah pun siap dirakamkan.

Idea yang dicetuskan oleh Edry iaitu untuk menubuhkan kumpulan rock ini sudah lama disimpannya, justeru dengan kehadiran serta bakat Aweera, melengkapkan lagi projek band yang memperjuangkan muzik berkonsepkan Synth-Rock ini.

Sementara itu, seperti sekian lama peminat tidak melihat tiga beradik KRU iaitu, Norman, Yusry dan Edry membuat persembahan secara langsung. Oleh itu, sempena sambutan ulang tahun KRU ke-20 pada Jun ini, peminat berkemungkinan dapat melihat KRU menyanyi.

Menurut KC, untuk tujuan itu, KRU Studios merangcang mengadakan sambutan secara besar-besaran membabitkan penyanyi yang pernah dan sedang bernaung di bawah KRU Music.