Berita Harian: Jac Percaya Kemampuan KRU

By 26/01/2012October 1st, 2015Bahasa Melayu

SETELAH setahun setengah tidak dipayungi mana-mana syarikat rakaman, penyanyi lagu Gemilang, Jaclyn Victor, 34, kini memilih untuk berteduh di bawah syarikat rakaman tempatan, KRU Music.

Jika sebelum ini, juara pertama Malaysian Idol itu berada di bawah sebuah syarikat rakaman antarabangsa, sehingga September 2010, tahun ini melakarkan sejarah tersendiri buat penyanyi bersuara lantang terbabit apabila bekerjasama dengan nama yang cukup diminatinya satu ketika dulu.

“Jika difikirkan kembali, saya rasa seperti tidak percaya kerana saya memang meminati lagu KRU, pada zaman sekolah dulu.

“Selepas ‘berehat’ daripada mana-mana syarikat rakaman hampir dua tahun, akhirnya saya menerima tawaran daripada mereka. Saya melihat kerjasama ini akan menjadi penanda aras kepada kejayaan saya sebagai penyanyi kelak. Ini kerana, mereka ialah orang seni dan juga penyanyi. Mereka tahu apa yang saya mahukan.

“Ketika menerima tawaran ini, Edry (Abdul Halim) memberitahu, dia tahu apa yang boleh mengangkat nama saya. Saya juga percaya mereka tahu apa yang saya inginkan sebagai penyanyi,” katanya pada majlis menandatangani kontrak selama setahun bersama syarikat terbabit, semalam.

Selain Edry sendiri, hadir sama pada majlis itu ialah Timbalan Presiden KRU Music, KC Ismail.

Bukan sekadar selesa bernaung di bawah label tempatan berkenaan, malah Jaclyn juga berasakan syarikat itu mampu mencipta kelainan dalam perjalanan karier muziknya.

“Saya tidak setuju jika selepas ini ada yang berpandangan imej saya akan tercalar kerana memilih syarikat tempatan setelah beberapa tahun bersama syarikat rakaman antarabangsa.

“Bagi saya, tiada bezanya. Lagipun, KRU Music sudah menempa nama dan ketika berbincang mengenai tawaran, saya ada bertanya kenapa mereka memilih saya dan kenapa sekarang? Jawapan yang diberikan membuatkan saya yakin apabila mereka mengatakan, kini masa yang tepat kerana apa yang ditawarkan mampu direalisasikan,” katanya yang bakal menyanyikan lagu Sedetik Lebih ciptaan Edry pada Anugerah Juara Lagu Ke-26, Ahad ini.

Wanita ini berkata, jika satu ketika dulu, dia pernah berasakan ada lagu yang tidak sesuai dengan jiwanya, tetapi terpaksa juga dinyanyikan bagi menunaikan amanah, syarikat rakaman itu pula dilihat lebih memberikan kebebasan kepadanya untuk menentukan bentuk muzik yang diinginkan.

“Di KRU, saya boleh cakap apa yang saya mahu sebab Edry yang mencipta lagu, bukannya orang luar. Lagipun, saya percaya mereka juga melalui apa yang saya pernah lalui. Dulu saya ‘pak turut’, apa orang minta saya ikutkan. Tetapi kini saya lebih banyak belajar untuk berdiri dalam dunia seni,” katanya.

Bersama label itu, Jaclyn akan tampil bersama single baru berjudul Sebelah Jiwaku, dalam jalur muzik pop kontemporari.

Menurut Edry, lagu itu akan dilancarkan pada Februari ini dan mereka juga merancang penerbitan album penuh penyanyi itu, yang memuatkan lima lagu Melayu dan sebuah lagu Inggeris.

“Antara lagu yang bakal dimuatkan termasuk Sebelah Jiwaku dan satu lagu tema untuk filem drama muzikal, 29 Februari, berjudul Jagalah Diri. Lagu Inggeris itu pula adalah untuk filem animasi 3D, Ribbit, arahan Chuck Powers.

“Ketika kami bekerjasama untuk lagu Sedetik Lebih, saya dapat rasakan Jac boleh bawakan lagu ciptaan saya dengan gaya tersendiri. Single yang saya gubah itu memang khas untuknya. Lagu itu menceritakan kekuatan yang ada dalam diri seorang wanita ketika mengalami kegagalan dalam bercinta,” katanya.